KEB 2024 agenda nasional berperlembagaan

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

BANGI - Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan berlangsung bermula 29 Februari hingga 2 Mac ini merupakan satu agenda nasional yang disifatkan sebagai berperlembagaan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, hal ini kerana ia bukan sahaja membantu golongan bumiputera bahkan pada masa sama menyokong bukan bumiputera dalam konteks memperkasakan pembangunan ekonomi negara.

“KEB 2024 ini tidak mengetepikan kaum lain dan milik semua kaum bukan bumiputera sahaja, jadi ia merupakan tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

“Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengajak kaum lain untuk turut serta dalam kongres tersebut adalah satu naratif kuat dan amat tepat sekali,” katanya ketika sidang media khas ‘Memperkasa Ekonomi Bumiputera: Apa Yang Diharapkan?’ di bilik mesyuarat MINDA, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Anwar ketika perasmian pra-pelancaran KEB 2024 berharap agar akan ada penyertaan dan kerjasama daripada kaum Cina serta India bagi memberikan pandangan atau input dalam kongres berkenaan.

Sementara itu, Noor Azlan yang juga pakar ekonomi menegaskan, mana-mana polisi yang bersifat afirmatif perlu dibentuk dengan berhati-hati kerana ia amat mudah terdedah kepada ‘rent-seekers’ tidak bermoral.

“Polisi ini dikhuatiri tidak akan meningkatkan keupayaan atau menyumbang kepada pembangunan negara.

“Justeru, empat perkara mesti jelas dalam pembentukan polisi afirmatif iaitu tujuan, kriteria penerima, mekanisme pelaksanaan dan graduasi waktu mula serta tamat,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!