Tidak perlulah sampai maki hamun mereka

International Organization for Migration menganggarkan terdapat seramai 2.2 juta warga asing yang memiliki dokumen sah menetap di Malaysia.
International Organization for Migration menganggarkan terdapat seramai 2.2 juta warga asing yang memiliki dokumen sah menetap di Malaysia.
A
A
A

BILA sebut sahaja tentang warga asing, pasti akan mengundang reaksi kurang senang rakyat Malaysia sehingga ramai yang memukul rata mengaitkan mereka dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Penulis tertarik untuk memberi pandangan berikutan terdapat individu tertentu yang gigih menyerang lokasi tumpuan warga asing dengan membuat siaran langsung di akaun media sosial.

Pada mulanya penulis sendiri takjub dengan usahanya yang begitu prihatin dengan masalah kebanjiran warga asing, namun semakin lama wataknya semakin agresif menyebabkan penulis rasa kurang selesa.

Dia mula menyerang warga asing yang sedang berniaga di sesetengah lokasi tanpa usul periksa, menjerit, terpekik terlolong dan lagaknya seolah-olah penguat kuasa daripada pihak berkuasa. Kemudian, menyalahkan pihak berkuasa kononnya tidak buat kerja.

Memang benar, kebanjiran warga asing di negara ini menimbulkan konflik dengan warga tempatan apabila jumlah bertambah dari hari ke hari.

Di sesetengah daerah atau lokasi tertentu, kehadiran warga asing dilihat melebihi jumlah penduduk setempat menyebabkan wujud gelaran tertentu, misalnya mini Dhaka.

Umum mengetahui kehadiran warga asing ke negara ini adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di pelbagai sektor yang rakyat tempatan sendiri tidak mahu bekerja, namun, sejak akhir-akhir ini, warga asing dipandang negatif walaupun mereka masuk ke negara ini secara sah.

Benar, ada antara mereka tegar dengan gaya hidup di negara asal, membawa budaya tidak elok dari segi kebersihan, pergaulan tanpa batas, budaya buruk seperti berjudi, pelacuran dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Penulis sebagai wartawan juga pernah mengikuti puluhan operasi melibatkan pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu lokasi-lokasi yang menjadi perkampungan dan persembunyian PATI.

Pihak polis juga sering melakukan operasi di kelab malam, hotel dan rumah urut yang menjadi sarang warga asing ini.

Itu belum lagi warga asing yang terlibat dengan kegiatan perjudian laga ayam.

International Organization for Migration (IOM) menganggarkan terdapat seramai 2.2 juta warga asing yang memiliki dokumen sah menetap di Malaysia, sementara jumlah pekerja warga asing tanpa dokumen sah di negara ini dianggarkan 1.2 juta hingga 3.5 juta orang, setakat 2022.

Cuma, sejak akhir-akhir isu ini menjadi bahan perdebatan kerana warga asing terlalu banyak membuka perniagaan, dikatakan menutup periuk nasi penduduk tempatan.

Bahkan, ada di antara warga asing ini yang masuk secara sah, tetapi tinggal lebih masa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Disember tahun lalu mendedahkan seramai 3,470 warga asing melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan.

Jumlah berkenaan merupakan hasil operasi JIM melibatkan tangkapan seramai 17,655 orang warga asing dan 218 majikan.

Bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 21 September 2023, sebanyak 6,453 operasi dilakukan JIM.

Disebabkan kesalahan tinggal lebih masa itu, warga asing berkenaan akan dikategorikan sebagai PATI serta adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Penulis sebenarnya tidak suka dengan perbuatan warga asing terutama yang bergerak secara kumpulan melakukan jenayah dan meminta sedekah. Namun, ada antaranya didalangi oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Hakikatnya, dalam kalangan warga asing ini, ada juga menjadi mangsa penipuan dan dipaksa bekerja.

Jadi, bagi penulis, kita sebagai rakyat Malaysia tidak perlulah berlagak hero memandang hina warga asing ini kerana mereka juga adalah manusia.

Lebih teruk lagi, apabila perbuatan menyerang dan memaki hamun warga asing dibuat sekadar memenuhi content di media sosial.

Bukan apa, ada juga ada antara mereka yang baik dan tidak menimbulkan masalah.

Bahkan di sesetengah tempat, warga asing inilah yang mengimarahkan masjid atau surau untuk bersolat jemaah lima waktu.

* Izwan Rozlin ialah wartawan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28