She Leads buka minda wanita tampil lebih berani

Dari kiri: Peguam Bela Hak Asasi Manusia, Ainie Haziqah Shafii sebagai hos program bersama panelis jemputan iaitu Kharul Nisa dan Penny Choo.
Dari kiri: Peguam Bela Hak Asasi Manusia, Ainie Haziqah Shafii sebagai hos program bersama panelis jemputan iaitu Kharul Nisa dan Penny Choo.
A
A
A

SHAH ALAM - Program bual bicara anjuran Sinar Daily, She Leads bantu membuka minda peserta khususnya wanita untuk tampil lebih berani dalam bidang yang diminati atau alam pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Khairul Nisa Ismail berkata, topik yang dibicarakan menerusi sesi pertama itu memfokuskan mengenai kaedah bagi individu terutamanya wanita untuk menentukan matlamat dan menetapkan pendirian untuk berani keluar daripada zon selesa.

Khairul Nisa
Khairul Nisa

"Untuk mengetahui tahap kemampuan dalam diri. Kita (wanita) perlu berani dan sentiasa tanya pada diri tujuan atau apa yang mahu dicapai tetapi anda perlu pastikan setiap impian boleh diaplikasikan kepada realiti, bukan mimpi kosong atau angan-angan tanpa hala tuju.

"Jangan sekali-kali berputus asa, dalam hidup ini sentiasa ada titik di mana kita akan jatuh dan berasa kecewa jika perkara yang dimahukan tidak menjadi. Namun, jangan biarkan perkara itu menghalang matlamat asal kita tapi ambil ia sebagai 'learning curve' untuk berjaya," katanya ketika program bual bicara She Leads pada Selasa.

Peserta yang bertanya soalan ketika Program bual bicara anjuran Sinar Daily, She Leads pada Selasa
Peserta yang bertanya soalan ketika Program bual bicara anjuran Sinar Daily, She Leads pada Selasa

Siri pertama She Leads yang dihoskan oleh Peguam Bela Hak Asasi Manusia, Ainie Haziqah Shafii bersama panelis jemputan iaitu Kharul Nisa dan Pengasas BloomThis, Penny Choo telah berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf yang dihadiri kira-kira 50 peserta.

Dalam pada itu, Penny Choo berkata, wanita diluar sana perlu mula menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku pada masa kini dan mendidik diri untuk sentiasa mempelajari perkara baru dalam kehidupan harian supaya tidak kekal di tampuk lama.

Artikel Berkaitan:

Penny Choo
Penny Choo

"Sebagai wanita, kita perlu bertindak pantas dengan perubahan supaya kita tidak akan ketinggalan. Cari seseorang yang anda boleh jadikan dia sebagai mentor dan membantu untuk menasihati anda dalam setiap perkara.

"Ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk mengenalpasti mentor iaitu mendapatkan bantuan daripada pro bono atau seseorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang profesional," ujarnya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Ioli Komunikasi Sdn Bhd, Yan Lim, walaupun sudah banyak program memperkasa wanita seperti ini tetapi ia perlu diadakan lagi pada masa akan datang dengan pengisian aktiviti atau tempoh sesi bual bicara dan soal jawab lebih lama.

Yan Lim
Yan Lim

Turut berpandangan, seorang peserta program She Leads, Fatinah Farhana Abbas, 29, mengakui program berkenaan akan membantu lebih ramai wanita untuk yakin dan sedar bahawa setiap impian yang ingin dicapai boleh menjadi kenyataan jika mempunyai keyakinan tinggi dalam diri.

Fatinah Farhana
Fatinah Farhana

Sementara itu, Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman memaklumkan objektif dalam program sulung itu mendapat sambutan memberangsangkan dan mencapai objektif serta berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Tasnim ketika memberi ucapan pembukaan pada Selasa.
Tasnim ketika memberi ucapan pembukaan pada Selasa.

"Sesi pertama ini sangat bagus dimana panelis berkongsi ilmu yang semua orang boleh jadikan sebagai panduan dalam kehidupan mereka. Kita dapat lihat peserta yang hadir adalah daripada industri yang berbeza tetapi mereka sangat mesra walaupun kali pertama berjumpa. Kita mahu kekalkan suasana sebegini pada sesi akan datang.

"Orang ramai dijemput untuk menyertai program She Leads pada sesi kedua hingga empat yang akan berlangsung pada 7 Mei, 25 Jun dan 27 Ogos akan datang.

"Mereka yang berminat boleh melakukan pembelian tiket melalui laman web https://sheleads.sinardaily.my/product/setting-goals-structure/ atau https://www.ticket2u.com.my/event/34487/she-leads-series," katanya.