APM perlu jadi contoh terbaik kepada masyarakat

Tengku Kamarulzaman (duduk barisan kedua, tiga dari kanan) bersama penerima pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu APM di ALPHA, Bangi semalam.
Tengku Kamarulzaman (duduk barisan kedua, tiga dari kanan) bersama penerima pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu APM di ALPHA, Bangi semalam.
A
A
A

BANGI - Pegawai dan anggota Briged Kesenian dan Pasukan Khas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) perlu memberikan contoh terbaik kepada masyarakat selain memanfaatkan ilmu pertahanan awam jika berlaku sebarang bencana atau kecemasan.

Penaung Kehormatnya, Tengku Kamarulzaman Almarhum Sultan Abu Bakar berkata, ini kerana rata-rata pegawai dan anggota yang menyertai briged itu terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, meskipun pada asasnya briged itu tertumpu kepada golongan artis atau mereka yang terlibat dalam seni, namun ia turut disertai oleh ahli profesional lain dan ahli perniagaan.

“Anda memikul peranan yang besar untuk menonjolkan kemampuan dan keupayaan yang luar biasa. Apabila sampai masa dan ketikanya, ilmu anda diperlukan dalam pelbagai kejadian bencana sama ada yang berlaku di rumah atau di kawasan sekeliling.

“Peranan Briged Kesenian APM bukan sahaja merangka untuk melaksanakan aktiviti atau mengadakan persembahan amal untuk mencari dana, malah penglibatan mereka sangat luas merangkumi latihan ilmu pertahanan awam dan kesiapsiagaan untuk menghadapi krisis serta bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Kehormat dan Bersekutu APM di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai enam orang anggota daripada Briged Kesenian APM ditauliahkan sebagai Pegawai Bersekutu.

Seramai dua orang wakil dari Pahang iaitu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dan Datuk Mohd Zulkifli Hashim turut menerima pemakaian pangkat serta watikah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tengku Kamarulzaman berkata, kesiapsiagaan pasukan berkenaan termasuklah dari segi pemulihan dan kaunseling, sumbangan keperluan kepada petugas APM dan mangsa bencana.

“Satu keistimewaan yang terdapat dalam Briged Kesenian APM ialah kebanyakan ahlinya daripada golongan artis.

“Merekalah yang diamanahkan untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling, selain dapat menghiburkan bencana di penempatan sementara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Kamarulzaman turut mengumumkan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia akan diserap dalam briged berkenaan.