Separuh jalan di Selangor sudah tamat tempoh jangka hayat

Lebih separuh daripada ratusan jalan raya di Selangor telah tamat tempoh hingga ada di antaranya melebihi usia 40 tahun.(Gambar hiasan) Foto 123rf, gambar kecil: Izham
Lebih separuh daripada ratusan jalan raya di Selangor telah tamat tempoh hingga ada di antaranya melebihi usia 40 tahun.(Gambar hiasan) Foto 123rf, gambar kecil: Izham
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lebih separuh daripada ratusan jalan raya di Selangor telah tamat tempoh hingga ada di antaranya melebihi usia 40 tahun.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, jalan raya itu meliputi jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.

Menurut beliau, usia sesuatu jalan raya itu kebiasaannya hanya mampu bertahan antara 20 hingga 25 tahun dan memerlukan proses naik taraf selepas tempoh berkenaan.

"Lebih separuh jalan di negeri ini perlu dinaik taraf secara berperingkat kerana sudah habis jangka hayat," katanya ketika ditemui selepas meninjau Stesen Pam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Izham memberitahu, isu utama dihadapi kini berkaitan kos atau peruntukan bagi menaik taraf semua jalan tersebut.

Beliau menjelaskan, peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) tidak boleh digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan.

"Kita telah mengenal pasti jalan-jalan ini, namun sukar dijalankan sepenuhnya kerana peruntukan tidak mencukupi," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya melakukan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) bagi mengenal pasti jalan yang amat kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai senarai dan telah membuat inventori bagi menaik taraf jalan yang memerlukan tindakan segera.

"Dana besar ini diperlukan kerana jalan rosak melibatkan struktur dan bukan penurapan semata-semata," jelas Izham.