‘Beri semula subsidi gula, satu langkah mundur’ - Ka Siong

Harga rendah terkawal yang ditetapkan kerajaan Malaysia kini menghimpit pengeluar gula kerana kos pengeluaran meningkat dengan ketara. (Gambar kecil: Ka Siong) Gambar hiasan
Harga rendah terkawal yang ditetapkan kerajaan Malaysia kini menghimpit pengeluar gula kerana kos pengeluaran meningkat dengan ketara. (Gambar kecil: Ka Siong) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Mengembalikan semula subsidi gula merupakan satu langkah mundur dalam reformasi kerajaan ke arah menghapuskan subsidi secara menyeluruh.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan pemberian subsidi itu kerana gula dianggap sebagai ‘racun’ kepada tubuh manusia jika diambil secara berlebihan.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila Malaysia secara konsisten telah tersenarai sebagai salah satu negara yang mempunyai kadar diabetes tertinggi di dunia.

“Mengikut pengiraan saya, subsidi RM1 sekilogram gula yang diperkenalkan ini akan menambah beban sekitar RM500 juta hingga RM600 juta setahun kepada perbelanjaan kerajaan.

“Sekiranya kerajaan ingin memberi subsidi terhadap barang keperluan rakyat, lebih elok sekiranya diberikan subsidi ayam.

“Harganya jelas meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum kerajaan bertindak memansuhkannya pada November 2023,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan, MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) mencadangkan kerajaan menaikkan harga RM2.85 sekilogram untuk gula paket kasar kepada RM3.85 sekilogram selaras dengan kos pengeluaran semakin meningkat.

Mengulas mengenai laporan media mengenai pemberian subsidi gula RM1 sekilogram oleh kerajaan, Ka Siong yang Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, hal berkenaan sudah tentu menimbulkan kekecohan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan subsidi gula di Parlimen, namun MSM menerima sejumlah besar subsidi daripada kerajaan.

Tambah beliau, untuk masa akan datang, ia juga dilihat mampu mengurangkan kos perubatan negara.

“Kerajaan perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013, memansuhkan subsidi gula dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019 yang mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” kata Ka Siong.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, Malaysia merupakan negara yang mempunyai harga gula termurah di dunia dan sudah tiba masa kerajaan bertindak memainkan peranan dengan menghapuskan atau menaikkan harga kawalan gula.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung dapat mendidik rakyat untuk mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian.

“Justeru, saya cadangkan kepada kerajaan supaya meneliti semula dan mempertimbangkan pembatalan subsidi gula ini demi kebaikan kesihatan rakyat dan kelestarian dasar sedia ada,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28