Terpaksa sembelih kuda, makan dedak ternakan - Warga Gaza

Penduduk di Gaza berdepan kebuluran yang teruk sehingga terpaksa memakan dedak haiwan. Foto EPA
Penduduk di Gaza berdepan kebuluran yang teruk sehingga terpaksa memakan dedak haiwan. Foto EPA
A
A
A

GAZA - Pengeboman tanpa henti dan pengepungan ketat Israel ke atas Semenanjung Gaza terus mengakibatkan krisis kelaparan semakin buruk sehingga ada antara penduduk terpaksa menyembelih kuda, makan rumput dan dedak ternakan demi kelangsungan hidup.

Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Abu Jibril menceritakan keadaan sukar itu sehingga memaksanya menyembelih dua ekor kuda miliknya untuk diberi kepada ahli keluarga.

"Kami tidak punya pilihan lain selain menyembelih kuda untuk memberi makan anak-anak. Kelaparan membunuh kami,” kata lelaki berusia 60 tahun itu kepada AFP seperti dipetik WAFA.

Tanpa memberitahu sesiapa tentang daging kuda berkenaan, beliau memasak sebelum menghidangnya kepada keluarga dan jiran-jiran.

"Walaupun perlu, tapi saya bimbang akan reaksi mereka. Tiada siapa tahu mereka makan daging kuda," katanya.

Kem Jabalia, yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan meliputi kawasan seluas hanya 1.4 kilometer, adalah yang terbesar di Semenanjung Gaza.

Jibril dan keluarganya melarikan diri dari Beit Hanoun apabila pencerobohan Israel terhadap Gaza bermula dan berlindung di Sekolah UNRWA Al-Faluga.

Sebelum pencerobohan, air tercemar dan gangguan bekalan elektrik menjadi masalah utama di kem yang padat penduduk itu.

Artikel Berkaitan:

Kini, keadaan diburukkan lagi dengan masalah kehabisan bekalan makanan kerana agensi bantuan tiada akses ke kawasan berkenaan akibat pengeboman.

Penghuni kem mulai memakan sisa-sisa jagung membusuk, dedak ternakan selain rumput bagi menghilangkan rasa lapar.

Program Makanan Sedunia (WFP) minggu lalu memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini semakin bahaya dengan "tahap putus asa yang tidak pernah berlaku sebelum ini" manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Sementara Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran bahawa kekurangan makanan yang membimbangkan selain peningkatan kekurangan zat makanan dan penyakit boleh membawa kepada "ledakan" kematian dalam kalangan kanak-kanak di Gaza. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!