Penduduk Gaza olah makanan haiwan jadi roti

Penduduk Gaza mengolah makanan haiwan menjadi roti sebagai makanan mereka untuk meneruskan hidup.
Penduduk Gaza mengolah makanan haiwan menjadi roti sebagai makanan mereka untuk meneruskan hidup.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kekurangan makanan di Gaza, Palestin ketika ini memaksa penduduknya mengolah makanan haiwan menjadi roti untuk meneruskan kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor (IJ), Farrah Faridah Baptist berkata, perkembangan tersebut mendedahkan mereka dengan kebuluran dan keadaan dibimbangi bertambah buruk menjelang Ramadan tidak lama lagi.

"Disebabkan kurang makanan penduduk Gaza mengolah makanan haiwan menjadi roti. Keadaan terkini penduduk di utara Gaza itu diceritakan penduduk tempatan yang juga wakil rasmi Ihsan Johor di sana.

"Mereka tiada pilihan untuk meneruskan hidup. Selain itu mereka juga terpaksa bergantung dengan sejenis rumpai, namanya 'mallow' sebagai makanan," katanya kepada pemberita di Markas Operasi Negeri di bandar raya ini pada Isnin.

Keseluruhan Gaza ketika ini dilaporkan mengalami kekurangan akses kepada air bersih, makanan dan ubat-ubatan sejak konflik Israel-Palestin meletus pada 7 oktober lalu.

Penduduk mengambil bekalan air bersih tajaan Waqaf An-Nur di Kem Pelarian Jabalya di utara Gaza, Palestin pada 10 Februari lalu.
Penduduk mengambil bekalan air bersih tajaan Waqaf An-Nur di Kem Pelarian Jabalya di utara Gaza, Palestin pada 10 Februari lalu.

Farrah berkata, pihaknya dimaklumkan wakil Ihsan Johor di Gaza, tiada persiapan untuk Ramadan dilakukan penduduk kerana keutamaan adalah untuk mendapatkan makanan.

"Bekalan betul-betul amat terhad untuk dibawa masuk ke Gaza termasuk sumbangan daripada pihak Ihsan Johor, malah lori bantuan ke utara Gaza ada yang dibom," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Ihsan Johor masih menyumbang bekalan air bersih kepada penduduk Gaza pada setiap hari untuk kegunaan harian mereka.

Air bersih yang disumbangkan itu katanya, merupakan air laut yang disuling sebelum dihantar kepada mereka dalam lori tangki.

Selain sumbangan air bersih tersebut katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit terlibat projek baharu iaitu menyumbang bekalan air bersih di Kem Pelarian Jabalya di utara Gaza yang dimulakan pada 10 Februari lalu.

Tambahnya, sebanyak 489 keluarga menerima sumbangan air bersih berkenaan tajaan penuh Waqaf An-Nur susulan bekalan air bersih yang sukar diperoleh.

Bagi yang ingin menyumbang sempena Ramadan di Gaza, slot RM50 adalah untuk makanan manakala slot RM100 untuk air bersih menerusi akaun Maybank 551203527725 atau Bank Islam Malaysia Berhad 01014010067566.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28