Bekas pemilik syarikat dituduh tipu RM8,000 untuk selesai kes dadah

Tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang bekas pemilik syarikat menghadapi dua pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan wang RM8,000 enam tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Amran Peaid, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Amran didakwa menipu Abdul Manan Naina Mohamed dengan secara curangnya mengaku kononnya tertuduh akan menggunakan khidmat peguam yang dapat menyelesaikan satu pertuduhan mahkamah melibatkan kes dadah seorang individu.

Oleh demikian, tertuduh dengan sengaja didakwa mendorong Abdul Manan untuk memindahkan harta iaitu wang berjumlah RM5,000 ke akaun simpanan Bank CIMB Bank milik pihak ketiga yang mana mangsa tidak akan memberikan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menipu mangsa yang sama dengan menggunakan alasan sama iaitu kononnya tertuduh akan menggunakan khidmat peguam yang dapat menyelesaikan satu pertuduhan mahkamah melibatkan kes dadah seorang individu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM3,000 ke akaun simpanan pihak ketiga.

Amran didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Fettes, Georgetown pada 20 September 2018 (pertuduhan pertama) dan 30 September 2018 (pertuduhan kedua).

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Amran dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur dalam prosiding menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Rehab turut memohon dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan serta tertuduh harus melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Peguam tertuduh, K Mahendran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum berikutan anak guamnya kini tiada pekerjaan.

"Anak guam saya tidak bekerja ketika ini selain perlu menanggung seorang anak berusia tujuh tahun. Tertuduh juga mengidap penyakit jantung dan kencing manis.

"Sementara itu, anak guam saya telah membayar jaminan RM4,000 kepada SPRM ketika dia ditahan untuk soal siasat pada 2020.

"Oleh demikian, saya memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh bekerjasama sejak dia ditahan dan tidak pernah cuba untuk melarikan diri, malah tertuduh hadir pada hari ini," katanya.

Zulhazmi menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan Rehab.

Kes ditangguh sehingga 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28