Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu, tipu tuntutan insentif

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat melatih pekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menipu bagi menuntut insentif berjumlah RM174,200 di bawah Program Penjana Kerjaya.

Mohd Azlan Sinin, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sebagai pemilik syarikat Ingenious Vision memberi Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM4,800.

Dia dituduh memperdayakan agensi itu dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu iaitu tandatangan seorang wanita sedangkan individu itu tidak pernah berbuat demikian pada dokumen pengesahan pekerja.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan di sini, pada 15 Mac 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd Azlan didakwa memperdayakan tiga pegawai perkhidmatan pekerja Perkeso dengan mendorong mereka untuk menyerahkan wang berjumlah RM169,400.

Bapa dua anak itu didakwa bertindak untuk mempercayai bahawa 56 nama dalam senarai pekerja di Data Penjana Kerjaya 1.0 syarikat itu tidak lagi bekerja.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Setapak, Jalan Genting Klang di sini, pada 28 November, 8 dan 18 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara boleh sampai 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan pertama iaitu menggunakan satu dokumen palsu dalam tuntutan insentif di bawah program pengambilan pekerja iaitu tandatangan seorang wanita di borang pengesahan program tersebut atas nama syarikat milik tertuduh, bertarikh 15 Mac 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Dennis Micheal Pereira yang mewakili tertuduh kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung dua anak serta ibu bapanya.

“Jumlah ikat jamin yang dicadangkan pihak pendakwaan sangat keterlaluan dan bersifat menindas.

“Pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dipohon pendakwaan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadnagkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 23 November depan.