Penduduk dakwa jalan masuk kampung makin sempit

Penduduk serta pengusaha ladang yang terjejas menunjukkan laluan yang sering digunakan mereka untuk keluar masuk kampung.
Penduduk serta pengusaha ladang yang terjejas menunjukkan laluan yang sering digunakan mereka untuk keluar masuk kampung.
A
A
A

BALING - Lebih 100 penduduk dari Kampung Ulu Seputeh dan Kampung Sungai Tawar dekat sini mendakwa berdepan kesukaran setelah laluan yang digunakan untuk keluar masuk setiap hari telah dibina sempadan baharu menyebabkan jalan menjadi semakin sempit dan berisiko.

Salah seorang penduduk, Morad Md Noor, 65, mendakwa, tindakan melakukan persempadanan semula oleh pemilik baharu dengan cara mengorek lubang juga dilihat mengundang bahaya kepada pengguna di laluan berkenaan.

"Saya lalu sini tiap pagi pergi motong (menoreh getah), bila lalu awal pagi atau malam, jalan ni cukup gelap, risau jika terjatuh, lubang yang dikorek agak dalam dan bahaya.

"Jalan ini dah lama wujud, buat macam ni jalan jadi kecil, kereta tidak boleh berselisih," jelasnya.

Sobri Husin, 55, mendakwa, jalan berkenaan telah digunakan sejak 50-an serta menjadi laluan utama dan terpenting suatu masa dahulu.

"Dulu, bas sekolah pun ikut jalan ni masuk keluar kampung angkut penumpang tetapi sekarang ia digunakan penduduk serta pekerja ladang kelapa sawit berdekatan,"katanya.

Longkang yang baharu dikorek didakwa mengundang risiko bahaya kepada pengguna (kiri). Laluan kenderaan didakwa menjadi sempit setelah terdapat kerja-kerja mengorek lubang dilakukan (kanan).
Longkang yang baharu dikorek didakwa mengundang risiko bahaya kepada pengguna (kiri). Laluan kenderaan didakwa menjadi sempit setelah terdapat kerja-kerja mengorek lubang dilakukan (kanan).

Sementara itu, Nazri Md Noor, 47, mendakwa, keadaan jalan yang dikorek menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku hujan lebat atau hakisan memandangkan kawasan itu juga kerap banjir.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang, jalan yang semakin mengecil juga menyebabkan pengusaha ladang tidak dapat mengeluarkan hasil sawit memandangkan lori mahupun jentera tidak dapat melalui kawasan itu kerana terlalu sempit.

Pengurus ladang, Lim Guk Leng, 45, mendakwa kerja-kerja mengorek lubang untuk dibuat persempadanan semula telah menjejaskan tanamannya yang terletak bersebelahan.

"Mereka korek mungkin untuk buat pagar tetapi yang saya geram lebih 100 pokok sawit dalam kawasan saya turut ditebang," dakwanya.

Rakannya, Jimmy Chye, 55, mendakwa, hasil sawit yang telah capai tempoh matang juga tidak dapat dikeluarkan dari ladang berikutan laluan yang sempit.

"Kenderaan berat nak lalu tak boleh, bagaimana saya nak keluarkan hasil?

"Tahun depan pula saya akan buat penanaman semula sawit, jika masih begini, bagaimana pula jentera nak masuk untuk buat kerja-kerja penanaman, ia bukan sahaja berisiko untuk orang yang melaluinya malah kenderaan juga boleh terbabas masuk lubang yang dikorek," jelasnya.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian sebagai rujukan agensi berkaitan.

Wakil Pejabat Tanah dan Daerah meninjau keadaan lokasi yang terjejas.
Wakil Pejabat Tanah dan Daerah meninjau keadaan lokasi yang terjejas.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, Pejabat Tanah dan Daerah kini sedang dalam proses memberikan notis untuk diadakan pertemuan dengan pemilik-pemilik tanah.

Menurutnya, semakan mendapati isu ini terjadi apabila terdapat pemilik baharu tidak lagi ingin melaksanakan perkongsian laluan sedia ada yang telah wujud melalui 'mutual understanding' oleh semua pemilik ladang yang asal.

"Kita akan ikhtiarkan dalam tempoh tempoh terdekat," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28