'Saya tidak bertanggungjawab terhadap wang dikreditkan ke akaun saya'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini bahawa sebagai pemegang akaun bank, beliau tidak bertanggungjawab terhadap wang RM42 juta yang dikreditkan ke akaunnya.

Bekas perdana menteri itu mengakui bahawa beliau mendapat manfaat daripada RM42 juta yang dipindahkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, ke dalam akaunnya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram, Najib, 67, berkata, wang di dalam akaun banknya tidak hilang walaupun beliau mendakwa akaunnya dimanipulasi oleh Jho Low.

Sithambaram: Sebagai pemegang akaun, kamu tidak bertanggungjawab terhadap jumlah yang dikreditkan ke dalam akaun kamu tetapi hanya bertanggungjawab untuk membelanjakannya?

Najib: Ya.

Sithambaram: Kamu memaklumkan peguam kamu dan dalam kenyataan saksi kamu bahawa Jho Low memanipulasi akaun kamu. Betul?

Najib: Ya, beliau yang berurusan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil. Saya tidak tahu butirannya.

Sithambaram: Kamu menuduh Jho Low memanipulasi akaun kamu?

Artikel Berkaitan:

Najib: Ya.

Sithambram: Akibat daripada dakwaan manipulasi terhadap akaun kamu itu oleh Jho Low, kamu tidak kehilangan sebarang wang dari akaun bank kamu?

Najib: Tidak, saya tidak mengalaminya (kehilangan)

Sithambaram: Malah, Datuk Seri, sebaliknya, kamu mendapat manfaat daripada berjuta-juta ringgit yang didepositkan oleh Jho Low.

Najib: Saya tidak memintanya.

Sithambaram: Itu bukan soalan saya. Kamu tidak kehilangan wang, malah mendapat manfaat wang yang didepositkan Jho Low ke akaun kamu.

Najib: Ya.

Pada satu peringkat, Sithambaram meninggikan suaranya apabila Najib berkata, AmBank sepatutnya memaklumkan kepadanya apabila wang masuk ke akaunnya.

Sithambaram: Jadi pada bila-bila masa, apa-apa wang masuk ke akaun kamu, tempatan atau luar, tugas bank untuk mengetahui, bukan tanggungjawab kamu. Kamu hanya dengan senang hati membelanjakannya?

Najib: Bank sepatutnya memaklumkan kepada saya, saya tidak tahu kerana saya tidak mengurus akaun itu.

"Kamu yang perlu memaklumkan kepada bank kerana wang masuk ke akaun kamu," kata Sithambaram.

Najib berkata, tidak ada tindakan yang diambil oleh SRC atau anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya.

Ketika ditanya mengenai sumbangan peribadi berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa diterimanya daripada Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, Ahli Parlimen Pekan itu bersetuju bahawa beliau tidak memaklumkan kepada pihak Arab itu untuk mengkreditkan sumbangan berkenaan ke dalam akaun kerajaan Malaysia untuk ketelusan.

Najib kini membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu salah guna kedudukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama