DBKL digesa buat pantauan, bancian secara kerap

Rosli Sulaiman, Laporan Sinar Harian
Rosli Sulaiman, Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa untuk memantau atau melakukan bancian secara kerap bagi memastikan tiada warga asing yang berselindung di sebalik lesen perniagaan rakyat tempatan.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tindakan sesetengah peniaga tempatan yang membiarkan perniagaan mereka diuruskan sepenuhnya oleh pekerja asing perlu ditangani segera.

“DBKL sudah membuat bancian dan menyelidik siapa operator yang mengendalikan kedai makan sebelum mengambil tindakan merobohkan premis terlibat.

“Apa yang DBKL laksanakan adalah atas maklumat serta siasatan yang dibuat sejak enam bulan lalu. Mereka telah mengenal pasti kebanyakan peniaga ini adalah warga asing.

“Memang patut tiada kompromi dengan mana-mana penjaja atau peniaga yang menggunakan warga asing sama ada diambil bekerja secara sah atau tidak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, sebuah premis kedai makanan di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur dirobohkan pihak berkuasa berkenaan selepas didapati dibina atas tanah rizab awam tanpa kebenaran.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan meroboh struktur kedai makan dijalankan setelah pemilik membuat pengosongan peralatan dan barangan di dalam premis tersebut.

Selain itu, Rosli turut menjelaskan tiada pembinaan struktur yang boleh dibina atas tanah rizab awam kerana ia merupakan kawasan hijau.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pihak berkuasa itu akan meneroka lokasi-lokasi tersebut sebelum dijadikan tanaman hijau atau taman bunga.

“Tanah ini dipanggil ‘pocket land’ dan tidak boleh membangunkan apa-apa struktur sekali pun.

“Jadi, DBKL masih memberi ruang dan peluang kepada peniaga yang menggunakan kawasan ini untuk menjalankan perniagaan walaupun perlu dikosongkan segera,” tambahnya.

Rosli pada masa sama, turut mencadangkan lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur dijadikan premis perniagaan baharu kepada peniaga tempatan yang benar-benar ingin meniaga.

Tegasnya, bantuan tersebut diberikan kepada mereka yang akan meneruskan perniagaan tanpa sebarang bantuan daripada pekerja asing di premis masing-masing.

“Kita akan bantu dan lihat mana-mana kawasan ‘hotspot’ DBKL yang boleh serapkan mereka untuk berniaga selepas ini.

“Kita minta supaya mereka pergi ke Jabatan Pembangunan Penjaja untuk memohon kemasukan di mana-mana kawasan medan selera yang masih ada kekosongan supaya mereka dapat terus berniaga,” jelasnya.