Hentikan persepsi rasuah hanya libatkan Melayu

Perspektif negatif rasuah hanya melibatkan kaum Melayu sahaja itu boleh dibendung sekiranya ada langkah awal yang diambil sebelum ia semakin menular. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zainal Adnan
Perspektif negatif rasuah hanya melibatkan kaum Melayu sahaja itu boleh dibendung sekiranya ada langkah awal yang diambil sebelum ia semakin menular. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zainal Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Persepsi kegiatan rasuah hanya melibatkan kaum Melayu sahaja perlu dibuang kerana jenayah itu secara umumnya dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Yang di-Pertua IKRAM Kuala Lumpur, Zainal Adnan berkata, perspektif negatif itu boleh dibendung sekiranya ada langkah awal yang diambil sebelum ia semakin menular.

“Untuk menghilangkan tanggapan tidak benar ini, beberapa alternatif perlu diambil seperti melaksanakan program pendidikan dan kesedaran melibatkan semua lapisan masyarakat tidak mengira etnik serta budaya

“Tindakan awal lain boleh dilakukan dengan membuat hebahan maklumat melalui media massa elektronik, penerangan kepada umum dan kerjasama dengan institusi pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, terdapat satu pandangan yang menyentuh mengenai kedudukan orang Melayu amnya di Malaysia.

Penulisan tersebut berkisar perihal rasuah dan perbuatan tidak beretika yang meruntuhkan maruah kaum berkenaan.

Tambah Zainal, ketelusan dalam proses kerja pentadbiran awam serta sektor perniagaan perlu ditingkatkan dalam usaha memperbaiki persepsi negatif terhadap orang Melayu.

Jelasnya, langkah itu berkait rapat dengan penambahbaikan sistem penyampaian awam, pelaporan kewangan terbuka dan proses keputusan yang telus.

Artikel Berkaitan:

“Akauntabiliti perlu diperkukuhkan, individu yang terlibat dalam rasuah dan terbukti bersalah perlu dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira kaum serta status, sama ada daripada sektor awam atau swasta.

“Kerjasama antara masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan perlu dipergiatkan lagi agar pelbagai segmen masyarakat dapat dilibatkan dalam usaha pencegahan rasuah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zainal turut mengingatkan supaya pengamal media untuk memainkan peranan yang sangat kritikal dalam membentuk persepsi masyarakat mengenai kes rasuah.

Katanya, liputan media yang adil dan seimbang perlu diamalkan tanpa memfokuskan hanya kepada etnik tertentu sahaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!