Rombakan PKR Perak tak libatkan jawatan pengerusi, timbalan pengerusi

Kar Hing dalam sidang akhbar pada Ahad.
Kar Hing dalam sidang akhbar pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Rombakan Majlis Pimpinan Negeri Perak tidak akan melibatkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi, kata Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Tan Kar Hing.

Beliau berkata, dua jawatan utama itu kekal diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR manakala Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai timbalan pengerusi.

Menurutnya, kedudukan jawatan lain seperti naib pengerusi, ketua wanita dan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diputuskan dalam masa terdekat seawalnya April depan.

"Setakat ini jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi kita kekalkan, selebihnya bergantung kepada keputusan pengerusi.

"Kita akan adakan satu permukiman pada 8 hingga 10 Mac depan di Pangkor dan antara yang turut dibincangkan adalah posisi-posisi penting serta langkah-langkah strategik yang perlu diatur untuk merampas kembali kerusi yang gagal mencapai kemenangan.

"Jadi, rombakan atau tidak terpulang kepada pengerusi nanti," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Gopeng itu tidak menolak kemungkinan PKR negeri akan menambah kapasiti kekuatan organisasi parti dengan mewujudkan beberapa jawatankuasa baharu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

PKR Perak akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan JKKK Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 3 Mac depan.
PKR Perak akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan JKKK Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 3 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persediaan yang diatur bukan sahaja tertumpu kepada kerusi ditandingi, tetapi lebih penting menguatkan kerjasama antara komponan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, PKR membuka ruang seluas-luasnya untuk perbincangan antara PH dan BN.

"Hubungan yang kukuh itu sangat penting supaya dapat bina kepercayaan antara parti dan saya jangka mungkin akhir tahun ini kita akan mulakan proses rundingan kerusi untuk pilihan raya," katanya.

Sinar Harian melaporkan, PKR melakukan rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu, beliau memaklumkan, PKR Perak akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan JKKK Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 3 Mac depan.

Ujarnya, antara pemimpin parti komponan yang hadir termasuklah Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi MIC, Datuk V Elango dan Datuk Sham Mat Sahat selaku wakil UMNO Perak.

"Kita jangkakan lebih 2,000 orang akan hadir ke majlis ini yang bermula jam 7 hingga 11 malam," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28