SAM, CAP bantah cadangan kereta kabel Bukit Bendera

Gambar kanan: Chow Kon Yeow Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader (atas) dan Meenakshi Raman
Gambar kanan: Chow Kon Yeow Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader (atas) dan Meenakshi Raman
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang agar tidak meneruskan cadangan projek kereta kabel Bukit Bendera bagi memelihara ekosistem di kawasan tersebut serta sekitarnya.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, kejadian kerosakan kereta api funikular baru-baru ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan negeri meneruskan projek tersebut tanpa menyiasat punca kerosakan terlebih dahulu.

Menurutnya, kerja penyelenggaraan terhadap pengangkutan itu perlu dilakukan lebih kerap berbanding pada waktu ini iaitu sekali dalam tempoh setahun.

"SAM tetap dengan pendirian kami iaitu tidak menyokong cadangan projek kereta kabel untuk Bukit Bendera memandangkan projek itu akan menjejaskan ekosistem sensitif di kawasan bukit dan Taman Botani. Banyak langkah yang boleh diambil selain daripada melaksanakan kereta kabel di situ.

"Antaranya menambah kekerapan penyelenggaraan kereta api funikular bagi mengelakkan ia rosak. Menambah baik kekerapan penyelenggaraan kereta api mesti menjadi langkah paling utama untuk disegerakan. Kereta kabel dilihat tidak mesra alam terutamanya bagi bukit dan taman sekitar. Sekiranya projek itu dilaksanakan, ia akan menyebabkan kerosakan pada Taman Botani dan Bukit Bendera sendiri," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Meenakshi berkata, lebih mengecewakan, kerajaan negeri mendakwa lapan hingga 10 tiang pilon diperlukan untuk menyokong rangkaian kereta kabel yang menghubungkan stesen berdekatan Kelab Menembak Pulau Pinang di Taman Botani ke puncak bukit.

"Sekiranya benar rancangan itu, kawasan sekitar akan sesak dengan kenderaan dan akan menukarkan alam semula jadi Taman Botani kepada kawasan yang sangat bising dan penuh dengan kenderaan. Selain itu, bagaimana tiang pilon akan dibawa masuk dan dipasang, yang mana ini akan memerlukan pembinaan jalan, penggalian dan kerja pembinaan.

"Sebaik kerja pembinaan berakhir, laluan penyelenggaraan di bawah laluan kereta kabel diperlukan dan semua ini akan menyebabkan gangguan kepada Bukit Bendera dan Taman Botani yang merupakan kawasan alam sekitar yang mudah terjejas dan sensitif. Oleh itu, kita menggesa agar kerajaan negeri untuk tidak meneruskan cadangan kereta kabel itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menggesa supaya kajian lengkap dan teliti, penilaian kesan sosial serta alam sekitar bagi projek kereta kabel di Bukit Bendera dan stesen Taman Botani itu dijalankan sebelum keputusan dibuat.

"Kajian pra kebolehlaksanaan dan kajian teknikal sepenuhnya yang akan dijalankan mesti memastikan kesan sosial dan alam sekitar terhadap Bukit Bendera dan Taman Botani tidak dipandang ringan. Ini kerana, ciri-cirinya yang istimewa dan keadaan alam semula jadi bagi kawasan ekosistem khas ini.

"Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya telus dan mendedahkan kepada umum beberapa perkara antaranya terma rujukan kajian selain menjelaskan kesan sosial dan alam sekitar yang lengkap ke atas Bukit Bendera dan Taman Botani," katanya

Dalam pada itu, dalam sidang medianya tadi, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta agar isu itu diajukan kepada Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Datuk Cheok Lay Leng kerana beliau tidak mempunyai maklumat berkenaan cadangan projek tersebut.

Katanya, satu kajian akan dibuat dan keputusan akan diambil sama ada ia boleh diterima atau sebaliknya.