[VIDEO] Ringgit jatuh, jangan asyik salahkan pembangkang - Muhyiddin


Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/651069/berita/politik/ringgit-jatuh-jangan-asyik-salahkan-pembangkang---muhyiddin

#SinarHarian #BeritaSemasa #ringgitjatuh" />
A
A
A

MUAR - Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejatuhan nilai ringgit dan keadaan ekonomi semasa dan bukannya menuding jari kepada pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi kejatuhan ringgit itu disebabkan kegagalan kerajaan menguruskan hal ehwal dan ekonomi negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan kerajaan hari ini tidak menunaikan janji menurunkan harga barang dan lebih bercakap bohong.

"Semua nak salahkan pembangkang, sekarang siapa kerajaan? Sepatutnya kerajaan sekarang bertanggungjawab bukan salahkan kerajaan dahulu, itu maknanya kerajaan kini sudah tidak bertanggungjawab.

"Dalam tempoh setahun pemerintahan kerajaan sekarang, rakyat boleh menilai sendiri kemampuan kerajaan dan media antarabangsa tidak payah diberitahu kerana mereka ada maklumat tanpa perlu diberitahu oleh pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin (kiri) tiba pada acara Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir pada Jumaat.
Muhyiddin (kiri) tiba pada acara Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir pada Jumaat.

Memetik laporan sebuah portal, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilaporkan berkata pembangkang juga patut dipersalahkan susulan kejatuhan nilai ringgit dan keadaan ekonomi semasa

Katanya, pembangkang terus bercakap tentang agenda menjatuhkan kerajaan, menyebabkan keyakinan pelabur terjejas.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, situasi ekonomi Malaysia ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik walaupun mata wang tempatan sedang melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pada 1998, selain daripada kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran meningkat dan tiada pelaburan asing masuk dalam negara.