Abdul Hadi perlu berhenti jadi ejen provokasi - Amanah

Abdul Hadi Awang, Muhammad Faiz
Abdul Hadi Awang, Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh membenih rasa benci rakyat terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Malah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang menuduh Perlembagaan sebagai bom jangka dan anti Islam merupakan permainan provokasi, sama seperti 'Amanat Hadi' yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kenyataan terbaharu (Abdul Hadi) yang cuba dikaitkan dengan kes Nik Elin sangat tidak relevan (kerana) keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah Kelantan adalah ekoran kekhilafan ahli DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan yang meluluskan enakmen berkenaan, walaupun jelas bercanggah prinsip perundangan negara.

"Namun ini tidak bermaksud undang-undang syariah negeri terbatal. Enakmen syariah masih boleh dikuatkuasakan dan undang-undang Islam boleh diperluaskan selaras Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum itu, Abdul Hadi dilapor memberi peringatan kepada kepada umat Islam supaya menjaga dan mempertahankan akidah masing-masing susulan keputusan mahkamah berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menegaskan, Perkara 3 Perlembagaan telah mengangkat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain turut menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153.

Justeru, beliau mahu semua pihak menghormatinya bagi menjamin perpaduan di kalangan rakyat dan kestabilan negara.

"Hakikatnya Islam terus subur dalam negara ini walaupun Tan Sri Abdul Hadi terus cuba menyalahkan Perlembagaan Persekutuan. Islam yang menganjurkan kaedah dakwah dengan hikmah tidak lagi menjadi panduan Pas.

Artikel Berkaitan:

"Pemisahan kuasa antara persekutuan dan negeri tidaklah menjadikan undang-undang Islam kelas kedua sedangkan pemisahan ini selaras dengan asas pembentukan dan struktur pentadbiran negara berasaskan prinsip federalisme sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan," ujarnya.