Wanita, kanak-kanak dipaksa melacur diselamatkan

Serbuan ke atas sebuah lot kedai berjaya menyelamatkan seorang wanita dan kanak-kanak perempuan yang disyaki dipaksa melacur dalam operasi di Banting, petang Khamis. Gambar haisan
Serbuan ke atas sebuah lot kedai berjaya menyelamatkan seorang wanita dan kanak-kanak perempuan yang disyaki dipaksa melacur dalam operasi di Banting, petang Khamis. Gambar haisan
A
A
A

KUALA LANGAT - Serbuan ke atas sebuah lot kedai berjaya menyelamatkan seorang wanita dan kanak-kanak perempuan yang disyaki dipaksa melacur dalam operasi di Banting, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, operasi yang dijalankan pada jam 3 petang itu mendapati premis tersebut telah diubah suai dan dijadikan kepada empat bilik menggunakan langsir.

Beliau berkata, premis berkenaan telah menjalankan aktiviti persundalan itu kira-kira dua bulan dengan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan.

”Semasa serbuan dijalankan kita berjaya menahan seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai ibu ayam dan dua wanita Indonesia yang bekerja sebagai pelacur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

"Serbuan itu juga berjaya menyelamatkan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, disyaki dipaksa melacur,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, pihak polis turut menemukan seorang bayi perempuan 11 bulan yang merupakan anak kepada wanita berusia 25 tahun itu dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun.

"Status kanak-kanak lelaki dan perempuan (11 tahun) itu masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Telok Datok, Banting untuk direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28