SPCAAM selar BNM pertahan trajektori pertumbuhan ekonomi negara

Callistus (kiri). Bank Negara Malaysia
Callistus (kiri). Bank Negara Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menyelar kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempertahankan trajektori pertumbuhan ekonomi negara meskipun nilai ringgit menyusut hingga paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1997.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan mata wang lain di beberapa negara membangun tidak dinafikan disebabkan kadar faedah yang tinggi memandangkan dolar AS masih berfungsi sebagai mata wang rizab ‘de facto’.

Menurutnya, walaupun ringgit yang lemah memberi manfaat kepada pengeksport, ia bakal mendorong kepada inflasi dan kos sara hidup lebih tinggi.

“Kesannya paling dirasai oleh golongan miskin yang hanya mempunyai sedikit atau tidak mempunyai pendapatan langsung.

“Krisis kos sara hidup seperti diakui oleh kerajaan sudah semakin teruk dari hari ke hari. Justeru, apa yang akan dilakukan menerusi instrumen dasar dan polisi untuk mengurangkan kesusahan ekonomi golongan ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, BNM berpandangan bahawa paras ringgit ketika ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi negara pada masa akan datang.

Gabenornya, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan, prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain iaitu dipengaruhi oleh faktor luaran.

Sementara itu, Callistus turut mempersoalkan kesan atau pengaruhnya kepada komuniti B40 dan M40 jika benar ekonomi telah berkembang selepas BNM memetik indikator serta mengeluarkan unjuran ekonomi dari segi agregat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, BNM sepatutnya mempunyai kuasa dalam memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut dan wajar untuk berbuat demikian.

“Merompak orang miskin dan merogol sumber negara untuk berkhidmat demi kepentingan orang kaya, entiti korporat atau ahli politik yang korup membawa negara ke arah tidak baik.

“Apa yang diperlukan untuk membetulkan trajektori negara adalah suara rakyat.

“Kami tidak boleh mengharapkan sistem rasuah untuk membuat apa-apa perubahan yang akan menghalang mereka dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat biasa.

“Kerajaan yang menjanjikan reformasi mesti berusaha untuk menjauhkan diri daripada melayani kepentingan perniagaan semata-mata,” ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28