‘Saya ambil tanggungjawab ini’ - Adam Adli


Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan susulan tular isu ahli AMK negeri berhasrat menganjurkan percutian ke Hatyai, Thailand.

Beliau berkata, AMK di setiap negeri bebas untuk mengadakan apa sahaja program dalaman yang bertujuan mengukuhkan hubungan dalam organisasi mengikut acuan organisasi masing-masing.

Menurutnya, ia sebagai persediaan awal untuk siri latihan intensif di setiap negeri anjuran AMK Pusat menerusi Akademi Keadilan Rakyat (AKAR) yang telah ditakwimkan bermula Ahad depan.

“Selepas ‘retreat’ di Kuala Lumpur bulan lalu, saya beri mandat dan kebebasan buat teman AMK di negeri masing-masing untuk anjur apa sahaja program dalaman.

“Saya hargai usaha setiap teman-teman pimpinan dalam memenuhi arahan tersebut tetapi kadangkala tidak sensitif dan akhirnya dilihat tersasar.

“Sayang sekali pengajaran buat teman AMK yang sedang meningkat naik datang dari insiden sebegini,” katanya menerusi hantaran di X pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial X apabila orang ramai mempertikaikan tindakan ahli AMK memuatnaik hebahan poster percutian ke Hatyai, namun enggan mengulas isu berbangkit dalam negara.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memaklumkan, AMK sentiasa terbuka dan menghargai segala teguran, kritikan serta pandangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang cepat kita baiki, ada yang masih belum berhasil,” ujarnya lagi.