Rumah usang, daif 'syurga' buat Zainuddin

Zainuddin tidak mahu meninggalkan rumahnya meskipun keadaannya uzur di Kampung Pekajang.
Zainuddin tidak mahu meninggalkan rumahnya meskipun keadaannya uzur di Kampung Pekajang.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Meskipun keadaannya terlalu daif, namun rumah usang di Kampung Pekajang di sini tetap dianggap 'syurga' buat warga emas yang sudah mendiaminya sejak hampir 50 tahun lalu.

Zainuddin Abdullah, 61, berkata, rumah usang itu menjadi tempat perlindungannya daripada hujan dan panas meskipun terpaksa tidur dan masak di bahagian anjung rumah.

Anak bongsu daripada enam beradik yang tidak pernah berkahwin itu berkata, mahu terus tinggal di rumahnya itu, walaupun sudah beberapa kali dipujuk ke rumah penjagaan warga emas.

Menurutnya, adik-beradik yang lain sudah meninggal dunia namun masih mempunyai anak saudara yang datang menghantar makanan dan barang keperluan harian.


Zainuddin tinggal di anjung ekoran rumahnya yang usang di Kampung Pekajang.
Zainuddin tinggal di anjung ekoran rumahnya yang usang di Kampung Pekajang.

Bekas pekerja kilang itu berkata, bumbung rumahnya mengalami banyak kebocoran selain uzur menyebabkannya dia terpaksa tinggal di bangsal depan rumah.

"Di bangsal ini saya masak, jerang air guna cerek dan juga tidur," katanya.

Zainuddin merupakan antara enam keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar yang dikunjungi ketika program ziarah kasih pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Kampung Pekajang, Hamzah Abdul Jazin berkata, Zainuddin sudah beberapa kali dipujuk untuk ke rumah penjagaan warga emas namun menolaknya.

Pandak (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zainuddin ketika program ziarah kasih di Kampung Pekajang, pada Khamis.
Pandak (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zainuddin ketika program ziarah kasih di Kampung Pekajang, pada Khamis.

"Sejak lima tahun lalu, saya kerap datang pujuk Zainuddin untuk ke rumah penjagaan warga emas, namun Zainuddin berkeras tidak mahu meninggalkan rumahnya di sini.

"Kali ini, saya datang bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Penyayang, Majlis Agama Islam Negeri Johor ( MAINJ) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad," katanya.

Dalam pada itu, Pandak yang turut memujuk Zainuddin memberitahu, keadaan warga emas semakin uzur itu tidak sesuai untuk terus tinggal bersendirian.

Jelasnya, perbincangan telah dilakukan dengan pegawai JKM bagi menempatkan Zainuddin di rumah penjagaan warga emas di Melaka kerana Rumah Seri Kenangan di Johor Bahru sedang diubah suai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!