‘Rakyat boleh cadang reformasi KPWKM’ - Nancy

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim pada Khamis ini.
Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim pada Khamis ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat boleh menyuarakan cadangan bagi melakukan reformasi terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam program Town Hall Rakyat kali kesembilan pada Khamis.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi program tersebut rakyat boleh berinteraksi dan mendapatkan maklumat secara langsung mengenai kementerian itu.

“Rakyat perlu menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk mengetahui mengenai kementerian dan juga memberi komen serta cadangan kepada kami.

“Kita perlukan pandangan daripada rakyat supaya dapat bersama-sama melakukan perubahan atau reformasi kementerian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, sesi Town Hall Rakyat menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Nancy
Nancy

Ia sekali gus menjadikan Ahli Parlimen Santubong tersebut sebagai Menteri Kabinet wanita kedua yang dijemput dalam program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Nancy, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi pameran oleh agensi di bawah KPWKM.

Ujarnya, jika terdapat persoalan, mereka boleh mendapatkan penerangan daripada pegawai yang menjaga ruangan pameran terutama isu kebajikan yang menjadi perkara utama kementerian itu.

“Pengunjung yang hadir berpeluang untuk mendapatkan maklumat terkini melalui agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Institut Sosial Malaysia (ISM),Talian Kasih KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Kita mengharapkan pengunjung mengambil peluang ini untuk mendapat maklum balas dan penerangan secara terperinci daripada pegawai kita,” katanya.

Info pameran agensi KPWKM di Lobi Karangkraf

Tarikh: 22 Februari 2024, Khamis

Waktu: Jam 12 tengah hari-8 malam

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

- Semakan dan konsultasi permohonan bantuan, pendaftaran kad Orang Kurang Upaya (OKU), pendaftaran sukarelawan JKM dan lain-lain.

- Info skim bantuan dan kaedah permohonan daripada JKM.

- Info kategori OKU dan kaedah permohonan.

- Maklumat berkaitan kanak-kanak, warga emas, permohonan kemasukan ke institusi JKM dan lain-lain.

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)

- Pameran AGS - Anti Gangguan Seksual.

- Membuka penyertaan sukarelawan Skuad Waja dalam menangani masalah komuniti berkaitan keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita.

Institut Sosial Malaysia (ISM)

- Institut Latihan Awam (ILA) dalam bidang sosial yang menawarkan kursus dalam bidang sosial, kajian, penerbitan buku ilmiah dan separa ilmiah serta kolaborasi strategik berkaitan pembangunan sosial negara.

-Mengadakan pameran mengenai kursus dan latihan, buku-buku terbitan dan kajian-kajian ISM serta program kolaborasi.

Talian Kasih KPWKM

- Pameran tentang maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh Talian Kasih KPWKM - 15999.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

- Pendaftaran program subsidi mamogram untuk kaum wanita.

Yayasan Kebajikan Negara (YKN)

- Perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS). Aktiviti yang disediakan:

- Saringan Ujian Psikologi dan Kesihatan Mental.

- Sesi Bimbingan dan Kaunseling.

- Art Theraphy.

- Rujukan Bantuan Kebajikan.

Truck KafeTEEN

- Aktiviti dan permainan menarik untuk golongan remaja.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28