Menteri, timbalan tidak boleh hadiri program ketika Dewan Rakyat bersidang

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri atau Timbalan Menteri tidak boleh menghadiri program di luar Kuala Lumpur ketika Dewan Rakyat sedang bersidang walau apa jua justifikasinya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setidak-tidaknya salah seorang mesti sentiasa berada dalam mod bersedia pada bila-bila masa dan boleh hadir ke Parlimen ketika diperlukan.

“Lagi satu, mewakilkan seorang Timbalan Menteri yang berbeza portfolio untuk menjawab bagi pihak kementerian lain bukanlah konvensi Parlimen dan budaya ini perlu ditegah.

“Apabila soalan seseorang Ahli Parlimen itu ‘naik’, sudah tentu ia amat dinanti-nantikan kerana kita perlu faham bahawa setiap Ahli Parlimen membawa suara rakyat di kawasan mereka.

“Jangan cari helah dan jangan lepas tangan. Akui saja kesilapan dan perbaiki serta pastikan ianya tidak berulang lagi. Saya pasti inilah maksud tatakelola baik dan reformasi yang diharapkan Perdana Menteri,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Ka Siong yang juga Presiden MCA, ketika sesi pertanyaan soalan lisan dalam Dewan Rakyat pada Khamis, soalan kelapan yang dikemukakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak dijawab oleh Menteri Kesihatan atau Timbalan Menteri Kesihatan.

Ujar beliau, soalan itu sebaliknya dijawab oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy mewakili Kementerian Kesihatan (KKM).

“Menurut Saraswathy, Menteri Kesihatan tidak dapat hadir di saat akhir kerana ada urusan penting, manakala Timbalan Menteri Kesihatan pula mempunyai program di Johor Bahru dan tidak sempat bergegas pulang untuk menjawab soalan di Parlimen pada pagi ini.

Artikel Berkaitan:

“Apabila dipersoalkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengenai ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy menyebut itu satu tohmahan.

“Terkejut dan bingung sekejap dibuatnya mendengar ungkapan tersebut. Saya berasa tidak wajar wakil kerajaan menjawab dengan cara sedemikian,” ujarnya.

Ulasnya, jawapan yang diberikan itu seolah-olah memberi ‘peluru’ kepada blok Pembangkang untuk menyerang wakil Kerajaan.

“Kalau Menteri atau Timbalan Menteri mana-mana kementerian tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat, maklumkan lah kepada Setiausaha Dewan Rakyat lebih awal supaya soalan yang berkaitan kementerian terbabit tidak dinaikkan. Ini perkara yang amat mudah diatur,” menurutnya.