LPNM sasar tingkat keluasan tanaman, pengeluaran nanas

Sheikh Umar (kanan) menunjukkan nanas yang ditanam dan mempunyai permintaan eksport ke luar negara. Foto LPNM
Sheikh Umar (kanan) menunjukkan nanas yang ditanam dan mempunyai permintaan eksport ke luar negara. Foto LPNM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan ladang nanas negara daripada 17,000 hektar ketika ini kepada 20,000 hektar menjelang 2025.

Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sasaran tersebut cukup penting bagi memastikan 700,000 metrik tan pengeluaran hasil nenas negara berbanding 583,543 metrik tan, dua tahun lalu.

Jelasnya, peluasan tanaman nanas ini akan difokuskan kepada Sabah dan Sarawak yang masih memiliki potensi tinggi dari aspek guna tanah bagi tujuan pertanian.

"LPNM menggariskan empat sasaran untuk dicapai oleh LPNM pada tahun ini, termasuk penambahan keluasan tanaman dan pengeluaran hasil nanas.

"Seterusnya melonjakkan nilai ekonomi pokok nanas kepada paras RM50 setiap pokok. Keempat, meningkatkan eksport nanas sebanyak 200 kontena lagi menjelang akhir tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, LPNM telah mengadakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bertempat di Dewan Masmerah, Wisma Nanas, di sini pada Selasa.

LPNM menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan ladang nanas negara kepada 20,000 hektar menjelang 2025. Foto LPNM
LPNM menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan ladang nanas negara kepada 20,000 hektar menjelang 2025. Foto LPNM

Sheikh Umar menambah bagi memastikan penanaman nanas berkepadatan tinggi dapat dilaksanakan LPNM menekankan penggunaan teknologi dan automasi terkini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, pada masa sama, kemasukan varieti baru SG1 dari Sarawak ke Semenanjung pada awal Mac ini bakal menjadi 'game changer' kerana kemampuannya dituai pada jangka masa lebih singkat iaitu dalam tempoh sembilan bulan.

"Purata nilai ekonomi sedia ada bagi satu pokok nanas ialah pada kadar RM20 hingga RM30 pada ketika ini.

"Justeru itu, LPNM akan memberi perhatian serius terhadap agenda 'Sekali Tanam Tiga Kali Tuai' melibatkan buah, sulur (benih) dan juga sisa (waste) agar dapat ditingkatkan kepada RM50 setiap pokok," ujarnya.

Bagi eksport nanas pula, Sheikh Umar memberitahu negara ketika ini hanya mampu mengeksport sejumlah 800 kontena ke China, Korea, Jepun, Jerman dan negara timur tengah.

"Oleh itu, sasaran peningkatan 200 kontena cukup penting bagi memastikan pencapaian eksport nanas negara sehingga 1000 kontena tahun ini.

"Peningkatan lagi 200 kontena adalah bagi menyahut seruan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menetapkan garis pencapaian eksport nanas negara sehingga 1000 kontena tahun ini," katanya.