Projek sakit, terbengkalai RM700 juta di Johor diselesaikan tahun ini

Mohd Jafni (dua dari kiri) menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah, Johor Bahru pada Rabu.
Mohd Jafni (dua dari kiri) menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor melalui Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) menyasar untuk menyelesaikan lima projek sakit dan satu projek terbengkalai dengan nilai hartanah RM700 juta pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata sebanyak 1,538 unit rumah bagi projek sakit membabitkan daerah Muar, Kulai, Johor Bahru dan Tangkak manakala 390 unit rumah projek terbengkalai di Kulai.

Katanya, kerjasama erat kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diyakini mampu menyelesaikan ke semua projek tersebut.

"Untuk rekod pada 2022 dan 2023, lima projek sakit dengan nilai hartanah RM300 juta berjaya diselesaikan kerajaan negeri. Oleh itu pada tahun ini, Johor mahu selesaikan lima lagi projek sakit dan satu projek terbengkalai.

"Dijangkakan nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai yang bakal diselesaikan akan mencecah RM1billion," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada sebahagian pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Dr Mohd Shahrizan Sahid.

Mohd Jafni berkata walaupun projek sakit dan terbengkalai bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun ia merupakan kaedah intervensi bagi membantu rakyat khususnya pembeli.

Jelasnya, lima projek sakit yang akan diselesaikan ialah Taman Desa, Tangkak; Taman Sri Unas Permai, Muar; Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Molek Perdana, Johor Bahru serta Taman Impiana Kulai, Kulai.

Artikel Berkaitan:

Sementara, bagi projek terbengkalai pula yang diselesaikan pada tahun ini di Taman Kulai Utama, Kulai.

Residensi PR1MA Larkin Indah yang diklasifikasikan sebagai projek sakit merupakan salah satu daripada enam projek PR1MA yang terdapat di negeri Johor melibatkan 1,174 unit.

Pelbagai kemudahan asas terdapat di residensi yang memiliki 1,174 unit kediaman antaranya surau, taska, dewan serbaguna dan taman permainaan.

Projek berkenaan merupakan antara enam projek PR1MA di Johor selain Residensi Tebrau, Residensi Taman Nusantara, Residensi Layangkasa, Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!