Kualiti air terawat di Pulau Pinang tidak terjejas - PBAPP

Loji Rawatan Air Bukit Toh Allang
Loji Rawatan Air Bukit Toh Allang
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak mengesan sebarang perubahan ketara dalam kualiti air terawat yang dibekalkan di Pulau Pinang hasil daripada pembuangan sisa ladang yang dilaporkan berlaku di Sungai Kulim.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan berkata, dapatan itu hasil ujian kualiti air dikendalikan bersama oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan PBAPP baru-baru ini bagi memastikan air terawat PBAPP mematuhi parameter Program Jaminan Kualiti (QAP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, PBAPP menguji kualiti air mentah yang diabstrak daripada semua sumber air mentah di Pulau Pinang serta air terawat dari semua loji rawatan air (LRA).

"Sepanjang 10 hari yang lalu, keputusan ujian PBAPP tidak mendedahkan sebarang pelanggaran besar terhadap parameter ujian air yang ditetapkan oleh KKM.

"Oleh itu pelepasan ladang yang dilaporkan, tidak menjejaskan kualiti air terawat di Pulau Pinang," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Media pada Isnin melaporkan, isu pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah bukan berpunca dari ladang ternakan babi sebaliknya ladang itik baka yang terletak berhampiran dengannya di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, perkara tersebut disahkan selepas satu siasatan menyeluruh diadakan di ladang ternakan haiwan itu.

Terdahulu, pada 18 Februari lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPV) mengarahkan sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu, di Bukit Mertajam ditutup selepas ia didakwa menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah, Kedah.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, Sungai Kulim merupakan sumber air mentah yang diteroka untuk mengisi semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) dan menghasilkan air terawat setiap hari di Loji Rawatan Air Bukit Toh Allang di Seberang Perai Utara.

"LRA ini mengeluarkan 40 juta liter air sehari (MLD) yang dibekalkan kepada 17,462 pengguna air berhampiran," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sumber air mentah utama untuk LRA Sungai Dua yang merupakan LRA terpenting Pulau Pinang ialah Sungai Muda dan bukannya Sungai Kulim.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab utama PBAPP untuk terus membekalkan air terawat yang selamat dan bersih kepada 689,786 pengguna air di Pulau Pinang.

"Justeru, kami amat menghargai tindakan segera dan tegas yang diambil oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendedahkan punca dan sebab sebenar pencemaran Sungai Kulim yang dilaporkan.

"Kami berharap tindakan pengawalseliaan yang sewajarnya akan diambil untuk meninjau secara konsisten dan melindungi sumber air mentah Pulau Pinang seperti sungai dan anak sungai," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!