Pasang CCTV tangani isu tapak sampah haram

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PADA 5 Februari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan pihaknya telah menutup sebanyak 2,093 tapak pembuangan sampah haram melibatkan kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 15 kes pendakwaan tapak sampah haram telah pun disabit kesalahan oleh mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM168,000.

Ujar beliau, sekiranya isu melibatkan tapak sampah haram masih berterusan, KPKT akan mempertimbangkan cadangan untuk meminda undang-undang supaya kadar denda dilipatgandakan.

Isu ini bukan perkara yang baharu malah, hampir setiap tahun pasti ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tapak-tapak sampah haram.

Contohnya, pada 3 Disember tahun lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 300,000 penduduk di tujuh kampung menderita bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram di Batu 14, Kapar, Selangor sejak tahun 2020.

Pengerusi Badan Bertindak Kapar, Rahim Iska berkata, tujuh kampung terjejas itu ialah Kampung Sungai Serdang, Jalan Suara, Tambak Jawa, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit Kapar.

Menurut beliau, masalah itu timbul selepas ada pihak melupuskan sampah secara haram di kawasan berhampiran seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

Sebagai sebuah negara membangun, penjagaan aspek kebersihan dan persekitaran tentunya perlu diambil serius oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Persekitaran yang bersih dan nyaman amat penting dalam kehidupan masyarakat masa kini sama ada di bandar atau di luar bandar.

Penduduk bukan sahaja berasa tenang, malah kawasan kediaman juga menjadi selesa dan aman jika persekitaran terjaga.

Selain itu, ia juga antara faktor penting untuk tarikan pelancongan sekali gus mendorong kepada penjanaan pendapatan ekonomi setempat.

Oleh sebab itu, usaha kerajaan dan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan negara bersih daripada lambakan sampah yang dibuang di tapak-tapak haram.

Malah usaha itu juga memerlukan penglibatan kerjasama daripada penduduk setempat bagi sama-sama memerangi aktiviti tidak bermoral itu.

Pada Ogos 2022, media melaporkan bahawa Malaysia berada pada tangga ke-130 dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) dengan skor EPI 35.00. EPI menyenaraikan 180 negara berdasarkan perubahan iklim, kesihatan alam sekitar dan daya hidup ekosistem.

Berdasarkan laporan indeks tahunan tersebut, Denmark paling cemerlang dengan skor 77.90, diikuti United Kingdom (77.70) dan Finland (76.50). India pula berada di tangga terbawah dengan skor 18.90.

Daripada laporan tersebut, negara memikul satu tanggungjawab berat untuk memastikan persekitaran kekal bersih dan berkualiti.

Dalam pada itu, lambakan sampah di tapak haram dapat menimbulkan pelbagai implikasi kepada sosio-ekonomi, imej dan reputasi negara.

Longgokan sampah dan sisa buangan yang banyak turut menyebabkan saluran perparitan tersumbat dan saliran air tersekat.

Hasilnya, apabila negara memasuki musim tengkujuh, banjir akan kerap berlaku di kawasan terbabit sekali gus menyebabkan kerosakan harta benda. Situasi itu sudah tentu memberi kesan negatif kepada persepsi pelabur-pelabur luar untuk melabur di negara ini.

Justeru, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) wajar dilaksanakan di setiap lokasi tapak sampah haram bagi menangkap individu terlibat.

Langkah itu bukan sahaja membantu pihak berkuasa mengesan dalang yang membuang sampah di kawasan terbabit, malah memberi amaran kepada sesiapa yang melakukan kesalahan sama.

Tindakan itu sedikit sebanyak dapat membantu usaha kerajaan dalam misi mengurangkan tapak sampah haram di negara ini.

Apa yang penting, kerajaan dan pihak berkuasa perlu bertegas dengan menangani isu tapak sampah haram serta mengenakan hukuman setimpal kepada si pelaku.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28