JPJ sita 781 kenderaan dipandu warga asing

Zulkarnain (kanan) memperincikan Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 kepada Lokman ketika sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Selasa.
Zulkarnain (kanan) memperincikan Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 kepada Lokman ketika sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 781 notis saman dan menyita kenderaan dipandu warga asing sepanjang 20 hari Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 hingga 20 Februari.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sitaan melibatkan pelbagai jenis kenderaan itu dilakukan selepas pemandu kenderaan terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki sebarang dokumen yang sah ke atas kenderaan yang dipandu.

"Sepanjang 20 hari operasi ini kita telah memeriksa sejumlah 2,500 buah kenderaan yang dipandu warga asing dan mengesan pelbagai kesalahan menyebabkan kenderaan dipandu disita.

"Antara pemandu warga asing paling ramai dikesan adalah Myanmar diikuti Bangladesh, Pakistan dan lain-lain warga negara," katanya pada Sidang Media Operasi Khas Sempena Tahun Baharu Cina 2024, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Lokman (dua dari kiri) melihat sebuah kenderaan dipandu warga asing yang diperiksa dalam Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Kuala Terengganu.
Lokman (dua dari kiri) melihat sebuah kenderaan dipandu warga asing yang diperiksa dalam Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, Lokman menegaskan, mana-mana warga tempatan yang memberikan sewa atau menjual kenderaan kepada warga asing turut berdepan tindakan termasuk disenarai hitam.

"Penduduk tempatan dan warganegara dinasihatkan supaya tidak memberi, atau beri sewa atau menjual kenderaan kepada warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen memandu.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil iaitu tindakan sita apabila kenderaan-kenderaan dipandu warga asing ini tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Tindakan juga akan diambil kepada pemilik kenderaan dimana mereka akan berdepan tindakan undang-undang kerana membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tanpa lesen," katanya.

Ujar beliau, pihak JPJ terpaksa mengambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu bersama agensi lain bagi membendung isu kebanjiran warga asing yang menimbulkan rungutan rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sejumlah 263,103 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 63,414 notis saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan 3,233 motosikal telah disita.

"Sebanyak 20,730 kes kenderaan dikesan melakukan kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), 13,829 (Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh); 12,330 (tiada insurans/ LKM), 8,404 (kesalahan teknikal atau mengubahsuai kenderaan) dan 6,447 (lain-lain kesalahan).

"Kita turut mengesan empat kes gagal saringan urin kerana terlibat bahan terlarang iaitu syabu, methamphetamine dan opiat," jelasnya.