SACC sediakan lebih 100 sajian, berkonsepkan muhibah

Tiga dari kiri: Azlina, Suhaimi, Wei Kiat pada gimik pelancaran Prebiu Bufet Ramadan SACC 2024 yang diadakan di SACC, di sini pada Selasa.
Tiga dari kiri: Azlina, Suhaimi, Wei Kiat pada gimik pelancaran Prebiu Bufet Ramadan SACC 2024 yang diadakan di SACC, di sini pada Selasa.
A
A
A

PUSAT Konvensyen Shah Alam (SACC) kembali dengan tradisi Bufet Ramadan yang bertemakan Selera Orang Kita dengan menyediakan lebih 100 sajian menarik yang merupakan gabungan aneka hidangan setiap kaum di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Azlina Amran berkata, pada tahun ini, SACC menawarkan kepelbagaian makanan berkonsepkan muhibah dan sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia yang hidup dengan percampuran budaya dan etnik sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, mengambil inspirasi daripada percampuran budaya di Malaysia, SACC mengangkat tema bufet Ramadan pada tahun ini berslogankan Bufet 25 Malam yang akan diadakan bermula 14 Mac hingga 7 April nanti.

“Antara menu istimewa pada tahun ini dan menjadi tarikan utama pengunjung ialah Nasi Ambeng SACC. SACC juga menyediakan menu utama yang sering menjadi tumpuan pengunjung iaitu kambing kebuli, mi kari nyonya, ayam bakar bawang putih, kambing masala kentang, ikan stim cantonese dan udang goreng telur masin.

“SACC juga turut menyediakan pelbagai gerai makanan untuk pengunjung nikmati antaranya Apam Balik SACC, Air Kathira Power, Loh Shi Fun, Teppayanki dan Kakiage Tempura, Aneka masakan bergoreng, sup periuk dan rojak pasembor,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Prebiu Buffer Ramadan SACC, di sini pada Selasa.

Hadir dan merasmikan majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, merangkap Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SACC Convec Sdn. Bhd, Datuk Mahmud Abbas.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang merangkap Ahli Lembaga Pengarah SACC Convec Sdn. Bhd, Chua Wei Kiat dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS merangkap Ahli Lembaga Pengarah SACC Convec Sdn. Bhd, Suhaimi Kasdon.

Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menikmati hidangan yang enak tersebut boleh mendapatkan penjimatan melalui promosi istimewa yang sedang berlangsung di laman sesawang SACC iaitu promosi pembelian awal RM98 dan ke atas untuk dewasa manakala RM68 untuk kanak- kanak berusia 7 sehingga 12 tahun dan bawah 7 tahun adalah percuma.

Artikel Berkaitan:

Azlina berkata, SACC menyediakan sebanyak 15,000 baucar Bufet Ramadan pada tahun ini berbanding 13,000 baucar sahaja pada tahun lalu.

“Kami menyediakan tambahan baucar kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan pada tahun lepas. Kami juga kini dalam proses renovasi dan menambahbaik beberapa fasiliti yang disediakan untuk memberikan keselesaaan kepada pengunjung,” ujar Azlina.

Azlina berkata, SACC juga membawa kelainan pada tahun ini dengan menyediakan sajian mangkuk tingkat untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat menikmati hidangan bufet Ramadan di SACC.

“Ia dilengkapi dengan nasi, tiga jenis lauk, kurma, air kathira power dan dua jenis kuih dengan harga RM159 sahaja. Mereka yang berminat menikmati sajian mangkuk tingkat, boleh menempah lebih awal untuk memberikan kemudahan kepada kami menyediakan tempahan yang diminta dan proses penghantaran makanan,” kata Azlina.

Beliau berkata, bagi pelanggan korporat SACC, pakej korporat yang ditawarkan dengan harga bermula daripada RM110.

Sementara itu, anak syarikat SACC, SACC Food Chain Sdn Bhd turut menyediakan tempahan hamper raya dan aneka biskut raya untuk dijadikan sebahagi hadiah korporat dan diberikan kepada mereka yang tersayang.