Amanah Terengganu sokong usaha pinda perlembagaan

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyokong penuh usaha pemerkasaan undang-undang syariah termasuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang akan dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Amanah Terengganu, Mohd Hasbie Muda menyatakan langkah tersebut menunjukkan komitmen yang serius oleh Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kedudukan undang-undang syariah lebih kukuh dalam sistem perundangan negara.

Menurutnya, ia juga dapat memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Islam berhubung undang-undang syariah di Malaysia.

"Kita turut memuji komitmen dan kesungguhan semua pihak terutama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengendalikan libat urus melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam proses pembentukan RUU ini.

"Semoga kolaborasi ini memberi hasil yang terbaik untuk keutuhan mahkamah syariah di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini.

Media pada Ahad melaporkan, laporan RUU 355 akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sesi libat urus yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah berada di peringkat akhir.

Mengulas lanjut, Mohd Hasbie yang juga Ketua Pemuda Amanah itu berkata, pihaknya yakin bahawa pindaan pada RUU 355 itu akan membawa manfaat positif kepada masyarakat Islam selain turut memastikan keharmonian dan kesepaduan di kalangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Amanah bersedia untuk terus memberi sokongan kepada segala usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa undang-undang Syariah bagi kebaikan bersama.