'Kami pulang bertiga bertemankan jasad suami'

Nora Elina (tengah) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada Isnin.
Nora Elina (tengah) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Sepatutnya kami berempat pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi namun takdir ALLAH SWT pula sebaliknya," ujar isteri kepada mangsa lemas, Nora Elina Abdul Khalit, 44.

Nora Elina berkata, dia bersyukur kerana arwah suaminya, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan dalam keadaan yang sempurna selain dapat menatap jasad arwah buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halaman.

"Saya dan keluarga tidak putus-putus berdoa supaya ada keajaiban untuk kami menemui jasad suami supaya ada tanah kubur untuk diziarahi bagi melepaskan rindu selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nora Elina menyatakan dia sekeluarga datang ke Kuala Terengganu pada Jumaat lepas kerana mempunyai urusan perniagaan selain mengambil peluang membawa dua anak melancong ke negeri tersebut sempena cuti persekolahan.

"Arwah memang ada nyatakan hasrat untuk mandi laut. Dia ada menyebutnya berulang kali sebaik sahaja sampai di Terengganu. Tak sangka pula kegembiraan kami sekeluarga berakhir dengan tragedi menyayat hati.

"Sepatutnya kami berempat pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi namun takdir ALLAH SWT pula sebaliknya, kami hanya pulang bertiga sahaja bertemankan jasad suami," ujarnya.

Dalam pada itu, Nora Elina berkata, dia dan keluarga berterima kasih kepada anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi yang bertungkus lumus sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak Ahad lepas.

"Kami juga berterima kasih dengan setiap titipan doa rakyat Malaysia yang bersimpati dengan ujian menimpa selain mendoakan jasad suami ditemukan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, semua doa ini dimakbulkan ALLAH SWT, dikurniakan keajaiban dapat menemui jasad dengan bantuan semua pihak.

"Alhamdulillah ada jasad untuk dikebumikan, doakan arwah dikurniakan syurga tanpa hisab, impian setiap orang Islam," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kegembiraan empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk dekat sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi Ahad.

Zulkarnain dilaporkan hilang dipercayai dibawa arus ombak ketika beriadah bersama isteri dan dua anak perempuannya di Pantai Batu Buruk.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28