Rafizi selesai jalani pembedahan tulang belakang

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini memaklumkan beliau baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas bulan depan.

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya di laman X (Twitter) hari ini, Rafizi berkata, sebelum itu beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis, yakni kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang, sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

"Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik, dan saya telah boleh berjalan semula,” kata beliau, yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

"Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan, tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu," katanya.

Terdahulu hantaran di Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, memaparkan kunjungan beliau yang menziarahi Rafizi di sebuah hospital, menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu yang pernah mengalami serangan jantung pada Okt lepas.

Mengulas punca masalah tulang belakang yang dihadapinya, Rafizi berkata, beliau dijangkiti Covid-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini dan terlantar beberapa hari, sekali gus menyebabkan tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

"Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit," katanya.

Rafizi pada masa sama memaklumkan beliau juga akan kembali bersiaran pada siri audio siar Yang Bakar Menteri (YBM) pada Mac, malah terbuka untuk bersemuka dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil dan MT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menawarkan diri untuk bertemunya.

Artikel Berkaitan:

"Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu, saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani,” katanya. - Bernama