'Apakah mereka makan gaji buta?' - Menteri KPMKR Sabah

James dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.
James dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib memberi amaran kepada kakitangan jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri ini supaya tidak melengah-lengahkan tugas dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat di Sabah.

Amaran tegas itu susulan daripada isu pewartaan tanah bagi pembinaan klinik kesihatan di negeri ini yang tidak dimohon sejak 30 tahun lalu termasuk membabitkan sebuah klinik yang terbakar baru-baru ini di Beluran.

"Baru-baru ini saya melawat Klinik Kesihatan Tangkarason yang terbakar dan kita telahpun mengambil tindakan iaitu akan terus membina klinik baharu bagi menggantikan klinik kayu yang musnah itu.

"Bagaimanapun, apa yang menjadi penghalang kepada kita ialah tanah tersebut belum lagi dimohon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu belum dimohon untuk pewartaan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengikut rekod daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beluran," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, pada Isnin.

James yang merupakan Exco Kesihatan Sabah berkata, apabila tiba masanya untuk proses membina bangunan baharu ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan isu pewartaan tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

"Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan, bayangkan klinik sudah berusia lebih 30 tahun dibina tetapi belumpun dimohon oleh KKM melalui PTP, jadi saya mahu tahu apa peranan pesuruhjaya ini di Sabah?

"Apakah mereka ini makan gaji buta, apakah mereka ini hanya ambil gaji dan tidak mahu bekerja.

"Itu baru Klinik Kesihatan Tangkarason, begitu juga klinik di Mansiad di Sook di mana tanah tersebut telah dimohon sejak 1979 tetapi baru-baru ini apabila kita bawa dalam mesyuarat bersama JTU, tanah tersebut baru dikeluarkan tawaran dan Klinik Kesihatan Mansiad tidak dapat dibina sebelum ini kerana tanah belum tersedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mahu kakitangan kerajaan supaya memahami peranan mereka dan seterusnya melakukan tugas yang diberikan.

"Saya minta PTP yang bertanggungjawab ke atas tanah-tanah ini supaya dapat mewartakan tanah tersebut, jangan duduk diam-diam.

"Ini tidak baik untuk Sabah. Kalau mereka tidak mahu bekerja, beri pada orang lain jangan susahkan rakyat, jangan susahkan kerajaan.

"Saya selaku menteri cukup marah sebab bukan itu saja beberapa klinik lagi tidak dapat dibina kerana masalah tanah ini," katanya.


_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

'60 tahun merdeka, Sabah saja masih klinik kesihatan kayu' - James

ASYIKIN ASMIN

KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah menyasarkan 100 klinik kesihatan diperbuat daripada kayu di negeri ini digantikan dengan bangunan konkrit dalam tempoh dua tahun.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, keadaan klinik kesihatan di negeri ini amat memalukan Sabah sedangkan di negeri lain sudah digantikan dengan bangunan konkrit yang baharu.

James
James



"Di Sabah ini hampir 100 klinik kesihatan yang diperbuat daripada kayu tetapi di Semenanjung, Sarawak sudah tidak ada (klinik kayu).

"Di Sabah saja yang ada, bukankah ini memalukan kita. Saya sendiri yang turun padang (lihat klinik kayu) dan kita akan diselesaikan pada tahun 2025.

"Kita mahu dalam tempoh dua tahun ini klinik kayu sifar di Sabah, tidak ada lagi klinik kayu. Semua bangunan konkrit macam di Semenanjung," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, di sini pada Isnin.

Jelasnya lagi, keadaan bangunan klinik kesihatan yang daif di negeri ini bukan saja berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut boleh dilihat di kawasan bandar termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

"Di bandar pun daif juga, lihat di Tuaran dan di Luyang bangunannya retak di sana sini. Itu di kawasan bandar, apa lagi di luar bandar. Ada yang tiada tangga, tiada tangki, jalan raya pun teruk.

"Kita saja memalukan, 60 tahun merdeka masih lagi klinik daif diperbuat daripada kayu dan bila saya bermesyuarat di kementerian di Putrajaya, Sabah saja banyak klinik kayu. Kadang-kadang saya tutup mata sebab malu," katanya.

Tambah James lagi, disebabkan keadaan prasarana kesihatan yang disediakan di Sabah tidak dinaik taraf punca pegawai dan kakitangan kerajaan tidak mahu ditugaskan ke negeri ini.

"Sebab itu ramai pegawai kakitangan kerajaan dari Semenanjung dan Sarawak tidak mahu datang ke Sabah, kadang-kadang mereka hanya terpaksa datang ke sini. Sebab itu juga kita kekurangan doktor dan jururawat," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan exco kesihatan negeri bertanggungjawab untuk untuk membawa perubahan dengan memberikan prasarana yang terbaik untuk rakyat di negeri ini. "Kalau saya tidak bertanggungjawab, kalau saya tidak berkerja, kalau saya tidak bersuara, hanya pandang saja buat apa saya jadi menteri," katanya.