Kastam tumpaskan cubaan seludup air zam zam RM1.3 juta

Nor Izah (tengah) menunjukkan air zam zam yang dirampas di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
Nor Izah (tengah) menunjukkan air zam zam yang dirampas di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Cubaan menyeludup masuk air zam zam dari negara jiran berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah di pintu sempadan pada malam Selasa.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abdul Latiff berkata, hasil pemeriksaan terhadap muatan dibawa sebuah lori kontena, pihaknya merampas 5,000 botol air zam zam bernilai hampir RM1.3 juta dipercayai untuk pasaran menjelang Ramadan.

Menurutnya, lori kontena tersebut memasuki negara ini dari Thailand melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan mengikrarkan dagangan sebagai pelembut pakaian.

“Pada Selasa sekitar 11 malam, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pegawai dari Cawangan Import Eksport melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena di Bay Pemeriksaan Import, Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Kita menjumpai sejumlah 5,000 botol air zam zam yang tidak diikrar dan tiada permit dengan anggaran 25,000 liter,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Nor Izah berkata, air zam zam tersebut disembunyikan di bahagian belakang muatan kontena sementara di bahagian pintu kontena disusun kotak mengandungi pelembut pakaian bagi mengaburi pihak Kastam.

“Pelembut pakaian yang diikrar sebagai ‘dummy’ disusun penuh di pintu kontena, menyukarkan pegawai untuk memeriksa keseluruhan dagangan dalam kontena tersebut.

“Kita percaya air zam zam tersebut diseludup masuk dari Thailand untuk mengelak dari dikenakan duti dan cukai. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mengeluarkan sebarang permit import air zam zam ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lori kontena tersebut dipandu oleh seorang warganegara Thailand bersama seorang kelindan yang juga warganegara sama.

Nor Izah (kanan) menunjukkan botol air zam zam yang disembunyikan bersama pelembut pakaian dalam sebuah kontena.
Nor Izah (kanan) menunjukkan botol air zam zam yang disembunyikan bersama pelembut pakaian dalam sebuah kontena.

“Kedua-duanya berserta kontena dibawa ke Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Nor Izah memaklumkan, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

“Ketulenan air zam zam itu turut diragui memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam dalam pasaran.

“Air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import mengikut Butiran 35, Jadual Ketiga, Item 19 (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Nor Izah tegaskan, sehingga 15 Februari, sebanyak 57 kertas siasatan dibuka dan disiasat untuk pelbagai kesalahan penyeludupan bawah Akta Kastam 1967.

“Dua kes sedang disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Ini menjadikan jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai RM1,012,843.40 dan duti/cukai terlibat dianggarkan RM538,257.34,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang tahun lalu, sebanyak 547 kertas siasatan dibuka bagi menyiasat pelbagai kesalahan penyeludupan dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM11,928,782.11 dan duti/cukai terlibat dianggarkan RM8,193,020.17.