'Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan' - Afnan Hamimi

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa Menteri Pendidikan tampil menjelaskan tahap sebenar pelaksanaan dan pemantauan dasar keselamatan murid di sekolah berasrama seluruh negara susulan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini telah memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat, selain pelbagai mekanisme pencegahan serta pelaporan kes buli.
Menurutnya, tragedi itu menuntut penjelasan serius daripada KPM termasuk persoalan mengenai pelaksanaan segala dasar, garis panduan dan kempen keselamatan serta antibuli yang diumumkan sebelum ini.
"Jangan sekadar mengumumkan dasar selepas sesuatu tragedi, kemudian menunggu tragedi seterusnya untuk kembali bercakap mengenai keselamatan murid.
"Pada masa sama, siasatan kes ini mesti dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa mendahului dapatan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada Jumaat malam.
Menurut Afnan Hamimi, sekiranya ditemukan unsur jenayah, kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.
Beliau berkata, sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak.
“Dasar antibuli tidak boleh sekadar menjadi slogan. Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan,” tegasnya.
Justeru, beliau memaklumkan, Pemuda Pas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar SMK Za’ba yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah.
"DPPM turut menyeru semua pihak memberikan ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kejadian," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

