MAIWP tambah baik program, noktah kemiskinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Karnival MAIWP 2024 yang diadakan bersempena sambutan Jubli Emas MAIWP ke-50 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Karnival MAIWP 2024 yang diadakan bersempena sambutan Jubli Emas MAIWP ke-50 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tekad realisasi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan khususnya dalam Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, bagi mencapai tekad itu, MAIWP akan terus menambah baik program bantuan sedia ada.

Menurutnya, pada tahun lalu MAIWP telah menjalankan tinjauan bagi mengkaji semula kadar bantuan kepada asnaf di bawah Program Bantuan Pembekalan Barangan Keperluan Asasi atau dikenali MAIWP Kasih Asnaf Zero Hunger.

"Hasil tinjauan tersebut, mulai 16 Januari lalu, kadar bantuan bagi pembelian barangan keperluan asasi dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 sebulan bagi meringankan beban kewangan asnaf.

“Kenaikan kadar bantuan bulanan ini akan memanfaatkan seramai 30,200 orang penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM108. 7 juta,” katanya pada Karnival MAIWP 2024: 50 Tahun Memacu Kegemilangan di Taman Tasik Titiwangsa, di sini pada Ahad.

Karnival selama sehari itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diselitkan pelbagai pengisian program antaranya Fun Run, pertandingan gubahan kreatif, persembahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain disusuli malam kesenian Islam ‘MAIWP berselawat’.

Anwar beramah mesra bersama salah seorang peniaga yang menyertai Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, pada Ahad.
Anwar beramah mesra bersama salah seorang peniaga yang menyertai Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Na’im, MAIWP juga katanya akan melaksanakan 'Program Gerobok Rezeki Komuniti U MAIWP' dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Program itu katanya untuk membantu meringankan beban kewangan para mahasiswa di Wilayah Persekutuan.

“Pada tahun ini lebih 60,000 mahasiswa dijangka menerima manfaat di bawah program ini dengan perbelanjaan sebanyak RM3 juta sebulan,” jelas beliau,

Antara universiti yang dikenal pasti bagi program itu ialah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Kebangsaan Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UKMKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pada masa sama, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada lebih 30,000 penerima golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf akan tetap diteruskan.

"MAIWP juga telah menyalurkan bantuan pakaian dan peralatan sekolah. Bantuan lain termasuk agihan zakat tanpa tunai menggunakan e-wallet sebanyak RM150 sebulan turut diagihkan kepada 31,562 asnaf membabitkan perbelanjaan RM47.69 juta," katanya.

Malah, MAIWP kata Mohd Na’im, akan terus mengadakan aktiviti dan program pengupayaan asnaf bagi memenuhi keperluan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Untuk rekod, pada tahun 2023, MAIWP berjaya mengutip zakat melepasi RM1 bilion dan berjaya mengagihkan sebanyak RM952. 27 juta membabitkan 93 peratus daripada kutipan tahun semasa.