Dulu sambilan kini pendapatan utama

Mohamad Rezal dan Sarimah (kanan) menunjukkan sebahagian kek pelbagai perisa yang dihasilkan daripada pembelajaran melalui YouTube.
Mohamad Rezal dan Sarimah (kanan) menunjukkan sebahagian kek pelbagai perisa yang dihasilkan daripada pembelajaran melalui YouTube.
A
A
A

KUANTAN - Tidak diduga, hasrat untuk mencari pendapatan sampingan bagi membantu suami ketika musim pandemik tiga tahun lalu, kini sudah menjadi sumber pendapatan utama.

Pembuatan kek diusahakan yang pada awalnya dilakukan di rumah, sudah mula berkembang hingga mampu mempunyai sebuah kafe bagi melengkapi usahanya selama ini.

Bagi, Sarimah Musa, 39, mengambil keputusan untuk berniaga bukan sesuatu perkara mudah tetapi ia memerlukan semangat kuat dan usaha gigih serta memerlukan komitmen tinggi.

Menurutnya, suami, Mohamad Rezal Mohamad Khalis, 45, adalah tulang belakang bagi dirinya untuk berjaya sebagai pembuat kek dan kekal berada dalam bidang perniagaan ini.

“Tujuan saya memulakan perniagaan sama seperti orang lain iaitu untuk tambah pendapatan dan bagi membantu keluarga.

“Pada ketika itu, saya tiada pengetahuan dan kemahiran untuk membuat kek, tapi saya tetap nekad untuk mencuba,” katanya ketika ditemui di kafenya di Jalan Gambang di sini baru-baru ini.

Lima tahun yang lalu, Sarimah mula memupuk keinginan yang kuat untuk menjadi pembuat kek dan memulakan proses pembelajaran cara membuat kek melalui YouTube dengan penuh keyakinan.

Katanya, hanya kaedah itu diharapkan mampu membantunya memulakan perniagaan berasaskan makanan pemanis mulut.

Artikel Berkaitan:

“Saya mula belajar sendiri melalui aplikasi YouTube bermula daripada pemilihan produk, membeli barangan pembuatan dan bahan mentah, membuat hinggalah kepada dekorasinya.

“Setiap hari, saya buat kajian rasa, sama seperti budak baru belajar.

Pelbagai dekorasi kek yang dijual Sarimah
Pelbagai dekorasi kek yang dijual Sarimah

"Banyak modal dihabiskan sehinggalah mendapat satu hasil memuaskan.

"Kalau ikutkan kek terawal saya berjaya buat ialah kek Red Velvet dan Japanese Cotton Cheese,” ujarnya yang mengakui meminati bidang ini, namun tidak pernah mencubanya kerana menganggap pekerjaan itu yang sangat meremehkan.

Jualan but kereta

Dengan bantuan suami, Sarimah mulakan langkah pertama dengan membuat jualan kepada saudara-mara dan rakan terdekat dari rumah sahaja.

Ujarnya, apabila pembuatan mula meningkat suaminya mencadangkan untuk berniaga di tapak jualan but kereta di Taman Kerang berhampiran dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di bandar raya ini.

Sarimah berkata, hanya dua jenis kek yang dijual dan hampir setiap hari kek Red Velvet dan Japanese Cotton Cheese habis terjual.

“Pada ketika itu, saya terpaksa bawa anak-anak saya untuk berniaga di tapak jualan bermula dari jam 6 petang sehingga tamat kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Suami dan anak-anak juga menjadi kekuatan kepada saya untuk terus menghasilkan lebih banyak pilihan kek.

"Bermula dengan dua biji kek, kini kami sudah berjaya menjual lebih kurang 12 jenis produk kek dan dessert,” katanya yang kini sudah memasuki tahun kelima meniaga di situ.

Dalam pada itu, Sarimah menambah, perniagaan tersebut merubah pendapatannya berikutan sambutan pelanggan begitu luar biasa.

Mohamad Rezal membantu menyusun pelbagai jenis kek yang dijual.
Mohamad Rezal membantu menyusun pelbagai jenis kek yang dijual.

Hasil daripada usaha terbabit membuat dirinya dan suami telah berjaya membuka sebuah kedai kek berkonsepkan moden dan santai sekitar tahun 2021.

“Suami saya sebelum ini bekerja di sebuah syarikat, setelah melihat potensi perniagaan yang saya usahakan ini dan ada tanda-tanda boleh berkembang maju, jadi dia (Mohamad Rezal) nekad berhenti kerja.

"Kami bersama-sama mula membina bisnes kek ini sepenuh masa,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran ditempuhinya, ibu kepada empat anak itu mengakui keadaan kini sangat berbeza berbanding zaman sebelum pandemik, ini kerana kuasa pembeli dilihat semakin berkurangan.

Kata Sarimah, cabaran itu membuatkannya terpaksa melipatgandakan usaha penjualan dan promosi serta tidak bergantung kepada kedainya sahaja.

“Bila dah ada bisnes sendiri, secara automatik akan fikirkan bagaimana hendak membuat keuntungan selain terpaksa menempuh cabaran berurusan dengan karenah pelanggan berbeza setiap hari, mereka ini ada yang boleh menerima produk kita dan ada sebaliknya.

“Selain itu, antara perkara lain yang mencabar sepanjang mengusahakan perniagaan itu adalah ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan radius penjualan kek adalah lebih kecil.

Namun permintaan terutama kek hari jadi ketika itu masih tinggi hinggakan pendapatan kedai kami juga meningkat.

“Dalam waktu yang sama, adakala kami sukar juga mendapatkan bahan mentah.

"Agak bermasalah ketika itu tapi masih boleh teruskan hingga tamat PKP. Saya tetap bersyukur,” kata wanita berasal dari Sandakan, Sabah itu.

Sementara itu, Sarimah turut memaklumkan, penjualan keknya kini lebih tertumpu kepada produk kek yang boleh tular.

Ujarnya, kek dan bakeri tular turut memberi impak bukan sahaja kepada penjualan malahan kedai yang diusahakannya juga menjadi lebih dikenali.

“Bermula dengan dua kek sahaja, kini saya sudah berjaya menambah kira-kira 40 jenis kek pelbagai perisa di kafe ini, semua dipelajari sendiri secara dalam talian tanpa memasuki mana-mana kelas pembuatan kek.

“Antara produk yang menjadi permintaan keras pembeli ialah Cheese Leleh, Mango Cheese Cake, Red Velvet, Cheese Cake Biskoti, Chocolate Moist dan Brownies.

“Paling memberi kepuasan kepada saya adalah jualan kek Pavlova dan Japanese Cotton Cheese kerana pada mulanya saya sendiri tidak pernah tahu produk ini apatah lagi merasainya.

"Syukur saya berjaya menghasilkan mengikut cita rasa pembeli,” katanya.

Sarimah menambah, kini kedai kek dan bakerinya memasuki tahun ketiga pembukaan jadi pelbagai menu tambahan telah ditawarkan.

“Alhamdulillah saya sudah lebih yakin dan kami juga mula menyediakan kira-kira 18 jenis minuman pelbagai perisa bagi melengkapi hidangan kek yang dijual,” katanya.