Harga bufet Ramadan meningkat tapi masih berpatutan

Harga bufet Ramadan di kebanyakan hotel Negeri Sembilan dijangka mengalami peningkatan antara 10 hingga 15 peratus pada tahun ini. Gambar hiasan 123RF Gambar kecil: Haziz
Harga bufet Ramadan di kebanyakan hotel Negeri Sembilan dijangka mengalami peningkatan antara 10 hingga 15 peratus pada tahun ini. Gambar hiasan 123RF Gambar kecil: Haziz
A
A
A

SEREMBAN - Harga bufet Ramadan di kebanyakan hotel Negeri Sembilan dijangka mengalami peningkatan antara 10 hingga 15 peratus pada tahun ini.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, ia disebabkan kos operasi yang semakin naik selain peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini.

"Tahun ini saja macam-macam kenaikan berlaku bukan sahaja harga barang tetapi tarif air serta elektrik dan sekarang cukai SST pula.

"Kami tiada pilihan kerana telah menyerap segala kos selama ini. Jadi suka atau tidak kenaikan itu perlu dibuat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau bagaimanapun berkata, harga baharu bufet Ramadan masih munasabah.

Ini kerana katanya, pengusaha juga tidak mahu perniagaan mereka rugi disebabkan harga bufet ditawarkan tidak masuk akal sekali gus tidak mendapat sambutan.

"Pengusaha perlu bijak menetapkan harga, jangan sehingga ia menjerat bisnes sendiri yang akhirnya menyebabkan mereka rugi.

"Saya difahamkan setakat ini kebanyakan harga bufet ditawarkan bermula antara RM65 hingga RM120 untuk dewasa yang mana saya berpendapat ia masih berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelanggan boleh mendapat harga lebih murah sekiranya mereka membuat pembelian awal pada harga promosi.

Haziz turut menyangkal persepsi sesetengah individu yang beranggapan berbuka puasa di hotel dengan harga bufet ditawarkan adalah satu pembaziran.

"Ini bukan pembaziran, tapi penghargaan kepada diri sendiri atau ada majikan meraikan pekerja mereka kerana Ramadan itu hanya setahun sekali. Ia pilihan kepada yang mampu.

"Tapi saya nak nasihatkan juga walaupun anda bayar untuk nikmati tanpa had semua hidangan disediakan tetapi janganlah membazir mengambil makanan dalam kuantiti banyak tetapi tidak dihabiskan," katanya.