Ekonomi diunjur berkembang 4 hingga 5 peratus tahun depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun depan, dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan, berbanding 4.0 peratus yang disasarkan pada 2023, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh kementerian itu hari ini, pertumbuhan tersebut bakal dipacu menyeluruh oleh sektor pekhidmatan, memandangkan kumpulan pertengahan dan akhir sektor ini dijangka terus meningkat didorong perbelanjaan domestik yang mampan dan pemulihan aktiviti eksport.

"Sektor pembuatan dijangka berkembang pesat disokong oleh industri berorientasikan eksport yang bertambah baik terutamanya produk elektronik dan elektrik (E&E) susulan permintaan luar yang semakin pulih.

"Sementara itu, industri berorientasikan domestik diunjur kekal menggalakkan sejajar dengan prestasi pelaburan dan penggunaan domestik yang kukuh,” demikian menurut laporan itu.

Bagi 2023, MOF berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.0 peratus, terus dipacu oleh permintaan domestik.

Pada separuh masa pertama tahun ini, pertumbuhan KDNK meningkat sebanyak 4.2 peratus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, terutamanya perbelanjaan swasta.

"Peningkatan ketidaktentuan luar akan menimbulkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi. Walau berhadapan pelbagai cabaran, ekonomi negara terus mendapat manfaat daripada dasar dan inisiatif yang dilaksanakan selama ini bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing negara,” kata kementerian itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan beberapa dasar yang telah diumumkan baru-baru ini termasuk pelaksanaan projek di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan memperkukuh usaha Malaysia untuk menjadi ekonomi terpenting di Asia dalam masa terdekat.

"Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan perubahan struktur, namun daya tahan dan keupayaan kita untuk berinovasi mengagumkan. Ini merupakan misi kolektif rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu secara harmoni, mendukung perubahan dan mengutamakan strategi pertumbuhan yang mampan.
Artikel Berkaitan:


"Oleh yang demikian, penting untuk memastikan pengagihan kekayaan ekonomi negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan memberikan keutamaan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik dan pendidikan yang berkualiti untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Menurut MOF, sektor pembuatan diunjur berkembang sebanyak 4.2 peratus pada 2024 didorong oleh prestasi lebih baik dalam industri berorientasikan eksport dan domestik.

"Industri berorientasikan eksport dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan luar dengan segmen E&E diunjur melonjak terutamanya didorong oleh produk memori. Peningkatan ini sejajar dengan pemulihan permintaan bagi produk berteknologi termaju,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 akan terus memperkukuh pertumbuhan sektor tersebut.

Sektor perkhidmatan dijangka meningkat sebanyak 5.6 peratus pada 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor, termasuk aktiviti berkaitan pelancongan yang rancak serta perbelanjaan pengguna yang berterusan.

Sementara itu, sektor pertanian dijangka meningkat sebanyak 1.2 peratus pada 2024 dipacu oleh pengembangan dalam kebanyakan subsektor terutamanya kelapa sawit, pertanian lain dan ternakan.

Pengeluaran kelapa sawit diunjur meningkat berikutan fenomena El Niño yang dijangka memberikan kesan minimum dan keadaan tenaga buruh yang kembali ke paras prapandemik.

"Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur berpurata antara RM4,000 hingga RM4,500 setan metrik pada 2024, sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan pengeluaran minyak sayuran lain yang rendah dan permintaan MSM lebih tinggi dari negara pengimport utama,” kata laporan itu.

MOF berkata sektor perlombongan pula diunjur kembali pulih sebanyak 2.7 peratus pada 2024 dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan dalam subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat.

Di samping itu, sektor pembinaan diunjur meningkat sebanyak 6.8 peratus pada tahun depan berikutan prestasi yang lebih baik dalam semua subsektor.

"Subsektor kejuruteraan awam dijangka terus disokong oleh projek infrastruktur dan utiliti strategik termasuk Lingkaran Tengah Utama (CSR), Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan pelaksanaan segera projek di bawah RMKe-12,” katanya.

Dari segi permintaan, MOF berkata pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang kukuh dan permintaan global yang semakin pulih, sementara perbelanjaan pengguna dijangka kekal kukuh disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh.

Sementara itu, katanya, pemulihan permintaan luar dijangka dapat melonjakkan prestasi eksport yang seterusnya meningkatkan lebihan dagangan.

"Lebihan ini disokong oleh peningkatan pendapatan eksport daripada akaun barangan yang akan mengimbangi aliran keluar bersih daripada akaun pengangkutan dan akaun perkhidmatan lain. Sehubungan itu, akaun semasa dijangka mencatat lebihan sebanyak RM62.2 bilion atau 3.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK),” katanya.

Pada 2024, MOF berkata eksport kasar diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus merentasi semua sektor berikutan prestasi perdagangan global dan prospek sektor komoditi yang bertambah baik, di samping ratifikasi perjanjian perdagangan iaitu Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan membolehkan produk tempatan terus menembusi pasaran yang lebih luas.

"Import kasar diunjur berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2024 disumbangkan oleh permintaan lebih tinggi bagi barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan,” katanya.

Sementara itu, MOF berkata, didorong oleh asas ekonomi Malaysia yang baik, kitaran kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang dijangka berakhir serta pemulihan ekonomi China, akan membantu menyokong nilai ringgit pada masa hadapan

"Memandangkan Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel, nilai mata wang tempatan akan terus ditentukan oleh pasaran dan prestasi ringgit akan dipengaruhi oleh perkembangan global dan domestik,” katanya.

Menurut laporan itu, pergerakan ringgit dalam tempoh lapan bulan pertama 2023 banyak dipengaruhi oleh faktor global terutamanya perkembangan di AS dan pemulihan ekonomi China yang kurang memberangsangkan.

"Pada awal tahun, ringgit bermula kukuh dengan peningkatan sebanyak 3.2 peratus dan ditutup pada RM4.2677 berbanding dolar AS pada akhir Januari. Prestasi kukuh ini disokong oleh jangkaan bahawa Fed AS mencapai kadar penghujung dalam masa terdekat dan sentimen positif terhadap pembukaan semula sempadan China.

"Bagaimanapun, ringgit mula mengalami beberapa siri penyusutan sejak pertengahan Februari hingga Ogos. Penyusutan dalam tempoh tersebut berpunca daripada perubahan naratif mengenai kenaikan kadar faedah AS ke arah pendirian hawkish (cenderung menaikkan kadar faedah),” katanya.

Menurut laporan itu, kadar inflasi diunjur mencatat antara 2.1 hingga 3.6 peratus tahun depan, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

Selain itu katanya, prospek inflasi berdepan risiko turun naik kadar pertukaran mata wang dan faktor berkaitan penawaran seperti harga komoditi global, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.

"Kadar pengangguran pada 2024 dijangka kembali kepada paras prapandemik pada 3.4 peratus. Jumlah guna tenaga diunjur meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 16.1 juta orang dengan lebih daripada 80 peratus peluang pekerjaan terus disediakan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan,” kata MOF. - Bernama