ADUN Gemas dilantik Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan

Riduan
Riduan
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Riduan Ahmad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Pengumuman itu dibuat oleh Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 pada Isnin.

Menurut MK Ibrahim, beliau telah menerima surat daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 25 September lalu berhubung penetapan Riduan sebagai Ketua Pembangkang.

Jawatan Ketua Pembangkang pada penggal lalu milik ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN), namun Pakatan Harapan (PH) dan BN telah bergabung pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Gabungan itu kemudiannya memenangi PRN pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 31 daripada 36 DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Sebelum itu, MK Ibrahim turut memaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengangkat sumpah sebagai ADUN Chennah di hadapannya pada jam 8 pagi.

Ujarnya, ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan pula akan mengangkat sumpah pada Selasa selepas memaklumkan tidak dapat hadir pada Isnin kerana perlu menjawab soalan lisan di Parlimen

Media pada 26 September lalu melaporkan seramai 34 ADUN telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani akaun sumpah.

Artikel Berkaitan: