RM42 juta lesap angkara 'scammer'

Sebanyak 2,216 kes penipuan dalam talian direkodkan di Negeri Sembilan dengan jumlah kerugian RM42 juta tahun lalu.
Sebanyak 2,216 kes penipuan dalam talian direkodkan di Negeri Sembilan dengan jumlah kerugian RM42 juta tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 2,216 kes penipuan dalam talian direkodkan di Negeri Sembilan dengan jumlah kerugian RM42 juta tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, jumlah itu meningkat 192 kes berbanding tahun sebelumnya dengan kerugian RM37 juta.

"Pada tahun 2023 sebanyak 971 kes penipuan membabitkan pembelian dalam talian dengan kerugian sebanyak RM9.77 juta iaitu jumlah kategori kes paling tinggi direkodkan.

"Bagi penipuan pelaburan merekodkan jumlah kes kedua paling tinggi iaitu sebanyak 399 kes, namun mencatatkan kerugian paling tinggi pada 2023 membabitkan lebih RM17 juta," katanya pada Ahad.

Menurutnya, kes pinjaman tidak wujud pula mencatatkan 389 kes dengan kerugian RM2.6 juta, penipuan panggilan telefon 220 kes (RM8.3 juta), love scam sebanyak 81 kes (RM2.6 juta) dan 156 kes penipuan e-kewangan (RM1.9 juta).

"Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan telah berjaya menahan 926 individu bagi semua kategori penipuan dalam talian tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, sindiket penipuan dalam talian akan menggunakan pelbagai helah atau modus operandi bagi memperdaya mangsa, namun orang awam dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran tidak masuk akal.

Katanya, elemen permainan psikologi melalui panggilan telefon sangat efektif untuk mencetuskan perasaan ingin tahu, gembira, risau, panik dan cemas hingga pengguna bertindak segera tanpa berfikir panjang.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat dinasihatkan supaya menyemak laman sesawang atau kesahihan maklumat diberikan sama ia selamat atau sebalik dan jangan sesekali menekan pautan yang tidak diketahui atau mencurigakan.

"Polis mempunyai laman sesawang untuk menyemak nombor akaun menerusi Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule," katanya.

Tambahnya, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menjadi keldai akaun dengan menyerahkan atau menyewa akaun kepada pihak lain