8,868 kes tipu beli barang 'online' babit kerugian RM163 juta

Sejumlah 8,868 kes penipuan pembelian barangan secara dalam talian atau e-dagang dengan nilai kerugian sebanyak RM163 juta direkodkan pada tahun ini sehingga September. - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli Mohamed Yoosuf
Sejumlah 8,868 kes penipuan pembelian barangan secara dalam talian atau e-dagang dengan nilai kerugian sebanyak RM163 juta direkodkan pada tahun ini sehingga September. - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 8,868 kes penipuan pembelian barangan secara dalam talian atau e-dagang dengan nilai kerugian sebanyak RM163 juta direkodkan pada tahun ini sehingga September.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan pembelian barangan secara dalam talian atau e-dagang merupakan antara kategori kes yang paling kerap dilaporkan oleh orang ramai.

Beliau berkata, daripada analisa yang dilakukan oleh JSJK Bukit Aman menunjukkan bilangan purata kes tahunan hampir mencecah 10,000 kes, manakala jumlah kerugian mencatat peningkatan ketara saban tahun.

Kata beliau, sejumlah 9,499 kes penipuan e-dagang dengan kerugian RM73 juta dicatatkan sepanjang 2021, manakala sebanyak 9,258 kes dengan kerugian RM140 juta bagi kesalahan sama pada 2022.

"Kerugian melibatkan penipuan e-dagang setakat tahun ini telah melebihi 55 peratus daripada kerugian yang direkodkan pada 2021.

"Dijangkakan jumlah kerugian melibatkan kes ini akan terus bertambah berdasarkan kenaikan harga barangan dalam sistem perdagangan semasa.

"Kita juga menjangkakan berlaku peningkatan ketara dalam bilangan kes-kes penipuan e-dagang di tahun akan datang ekoran peningkatan jumlah platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masyarakat masa kini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ramli berkata, kajian JSJK PDRM juga menunjukkan pelaku jenayah e-dagang menyalahguna platform media sosial dan aplikasi jualan dalam talian untuk mencari mangsa.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, secara purata 39 peratus kes e-dagang yang dilaporkan sejak 2021 adalah berkaitan urus niaga yang bermula melalui laman sosial.

Menurutnya, kajian turut mendapati penyedia platform e-dagang telah menyediakan prosedur urus niaga yang selamat dan teratur, namun kecenderungan mangsa mendapatkan harga yang lebih murah mendorong mereka membuat pembelian secara terus dengan penjual tanpa melalui platform e-dagang berkaitan.

"Tindakan ini telah mengakibatkan mereka menjadi mangsa penipuan," ujarnya.

JSJK serbu 148 premis berperanan pusat panggilan penipuan

Dalam pada itu, Ramli berkata, sebanyak 148 premis dipercayai berperanan sebagai pusat panggilan penipuan dalam talian diserbu JSJK menerusi beberapa siri operasi dijalankan sejak awal tahun ini.

Menurutnya, keseluruhan premis yang diserbu melibatkan operasi yang dijalankan di seluruh Malaysia.

"Serbuan dijalankan itu antaranya melibatkan 19 premis sindiket perjudian dalam talian, 39 premis berkaitan penipuan belian dalam talian dan 46 premis berkaitan penipuan pelaburan.

"Selain itu, serbuan turut melibatkan 23 premis berkaitan panggilan tipu, lima premis berkaitan pinjaman tidak wujud, sebuah premis berkaitan love scam, satu premis dipercayai berperanan sebagai keldai akaun dan 15 premis lagi berkaitan along," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, siri serbuan dijalankan turut melibatkan tangkapan seramai 1,160 individu dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati daripada jumlah terbabit, 791 individu merupakan warga tempatan manakala selebihnya terdiri daripada warga asing antaranya warga China, Indonesia, Taiwan, Bangladesh serta rakyat beberapa negara lain.

"Jumlah tersebut turut mencatatkan seramai 501 individu yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan manakala 659 individu lagi masih dalam proses siasatan serta ada yang telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menyasarkan warga tempatan dan luar negara.

"Sebanyak 69 dari 148 pusat panggilan yang diserbu dikesan menyasarkan rakyat negara ini.

"Selebihnya dikesan menyasarkan mangsa daripada beberapa negara luar antaranya China, Singapura, United Kingdom, Filipina, Bangladesh dan beberapa buah negara lain," katanya.

Ramli berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan aplikasi khas bagi membolehkan mereka berkomunikasi dalam bahasa perantara yang digunakan di negara sasaran.

"Aplikasi khas dipercayai digunakan sindiket untuk melakukan kegiatan penipuan dan masa sama meyakinkan penerima panggilan bahawa ia adalah panggilan yang benar.

"JSJK sentiasa mewujudkan kerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa luar termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Australia bagi memastikan jenayah penipuan ini dapat dibanteras," katanya.