Nak jejak 'harimau import' biarlah benar-benar berkualiti

Sumareh - Foto Bernama
Sumareh - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK beberapa bulan lalu sudah heboh ‘sembang-sembang’ dalam kalangan warganet bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memperkasa Harimau Malaya dengan menaturalisasikan beberapa pemain asing.

Selepas melihat impak positif yang dibawa ‘awang import’ Pahang, Mohamadou Sumareh-pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya FAM dikatakan semakin ghairah membawa masuk beberapa pemain asing lain untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi.

Secara peribadi, Merak Jalanan menyokong tindakan FAM itu. Apa salahnya jika ada beberapa pemain naturalisasi lain yang boleh memberi nilai tambah. Asalkan membawa kebaikan, buat apa hendak ditentang.

Namun, Merak Jalanan tetap mahu memberi peringatan kepada FAM. Jangan pula dek kerana terlalu ghairah mencari pemain yang boleh dinaturalisasikan, mereka lupa dengan tenaga serta kudrat anak-anak tempatan.

Tak salah jika mahu bawa masuk pemain naturalisasi demi kebaikan Harimau Malaya tapi jangan sampai tersilap langkah.

Satu lagi Merak Jalanan mahu beri peringatan kepada FAM, jangan ‘main tangkap muat’ saja. Dah alang-alang mahu ambil pemain naturalisasi, FAM perlu pastikan pemain itu jauh lebih berkualiti daripada anak tempatan.

Dari segi faktor umur juga FAM perlu ambil kira. Kalau boleh janganlah ambil pemain yang sudah dianggap veteran. Kalau dah usia mencecah awal atau pertengahan 30-an, berapa lama sangat pemain itu mampu menyumbang kepada Harimau Malaya.

FAM juga boleh memburu jejak lebih ramai pemain kacukan atau berdarah campuran. Tengok saja kelibat Brendan Gan, Corbin Ong dan Matthew Davies, bagi Merak Jalanan ketiga-tiga pemain itu cukup menyerlah.

Artikel Berkaitan:

Apapun ini hanya pandangan peribadi Merak Jalanan. Sudah tentu FAM dan barisan kejurulatihan cukup arif menilai mana kaca, mana permata.