Jepun berjaya lancar roket H3 versi baharu

Jepun berjaya melancarkan roket H3 versi terkini dari Pusat Angkasa Tanegashima pada Sabtu. Foto AFP
Jepun berjaya melancarkan roket H3 versi terkini dari Pusat Angkasa Tanegashima pada Sabtu. Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Jepun berjaya melancarkan roket H3 versi terkini dari Pusat Angkasa Tanegashima, menurut Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) pada Sabtu, lapor Sputnik.

Pelancaran sulung H3 dibuat pada Mac 2023 tetapi terpaksa dimusnahkan apabila enjin peringkat keduanya tidak bertindak balas kira-kira 14 minit selepas dilancarkan.

Versi baharu roket itu dilengkapi sistem pencucuhan yang lebih baik.

H3 membawa satelit tiruan yang sepadan dengan berat dan keseimbangan Advanced Land Observing Satellite-3 'DAICHI-3' (ALOS-3) yang dibawa oleh kapal angkasa versi pertama, selain dua mikrosatelit.

Roket itu dilancarkan pada 9.22 pagi waktu tempatan (0022 GMT).

Pelancaran roket itu pada awalnya dijadualkan pada 15 Februari tetapi ditangguhkan ekoran cuaca buruk.

Perdana Menteri, Fumio Kishida mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap kapal angkasa itu berjaya dalam misinya.

H3 ialah roket bahan api cecair dua peringkat dan dijangka menggantikan H2A yang sedang digunakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, H3 mampu membawa 1.3 kali lebih banyak kargo daripada H2A dan kos pelancarannya adalah separuh daripada H2A.

JAXA dan Mitsubishi Heavy Industries memulakan pembangunan roket baharu itu sembilan tahun lepas dengan menelan perbelanjaan sebanyak 200 bilion yen (AS$1.5 bilion).

H3 dianggap sebagai pembangunan baharu pertama roket bersaiz mega dalam tempoh kira-kira 30 tahun. - Bernama/Sputnik

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!