Isu harga beras: Pesawah harap tidak timbul masalah baharu

Kerajaan digesa memastikan bekalan Beras Putih Malaysia Madani di pasaran negara ini mencukupi selepas ia diperkenalkan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Muhamad Fuad Yaacob
Kerajaan digesa memastikan bekalan Beras Putih Malaysia Madani di pasaran negara ini mencukupi selepas ia diperkenalkan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Muhamad Fuad Yaacob
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menyokong langkah diambil kerajaan bagi memastikan harga beras yang dikawal dapat dikurangkan.

Pengerusinya, Muhamad Fuad Yaacob bagaimanapun berharap satu keputusan terbaik dapat dibuat dan diterima semua pemain industri tanpa menimbulkan masalah baharu.

"Pesawah berharap kerajaan dapat mencari satu mekanisme terbaik dengan situasi menang-menang kepada semua pihak khususnya antara pengguna, pesawah dan juga pihak pengilang.

"Kita tidak mahu apabila satu masalah selesai timbul pula masalah baharu. Adalah lebih baik diselesaikan bersama supaya kita dapat satu keputusan baik dan diterima semua pemain dalam industri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijangka berlangsung minggu depan.

Justeru, Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.

Kerajaan sebelum ini dilapor akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg), manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat khas NACCOL sepatutnya sudah pun berlangsung, namun ia terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan atas sebab yang mendesak.

Dalam pada itu, Muhamad Fuad turut berharap agar Perdana Menteri melihat semua perkara termasuk keperluan pesawah agar mereka juga tidak terjejas sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.

"Jangan apabila selepas (harga kawalan beras itu) dimuktamadkan hasil jualan padi dengan harga yang kami terima dan nikmati sekarang ini iaitu sebanyak RM1,600 satu tan pula dikurangkan," ujarnya.

Ujarnya lagi, pesawah kini sudah merasa selesa dengan kadar harga tersebut kerana kadar itu dapat menampung kos malah ada juga lebihan tunai untuk dijadikan sebagai perbelanjaan harian.

"Jadi setiap keputusan kerajaan untuk rakyat makan beras pada harga rendah dan murah itu kita bersetuju dan dalam kita bersetuju kerajaan kena pastikan petani juga tidak terjejas dengan jualan padi dari segi harga dan sebagainya," katanya.