MDSB gempur penjaja haram di Terminal Sekinchan

Penguat kuasa MDSB memeriksa sebuah gerai penjaja di tepi jalan Parit 5 berhadapan Terminal Sekinchan pada Khamis. Gambar Kecil: Mohd Azreen
Penguat kuasa MDSB memeriksa sebuah gerai penjaja di tepi jalan Parit 5 berhadapan Terminal Sekinchan pada Khamis. Gambar Kecil: Mohd Azreen
A
A
A

SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menggempur penjaja tanpa lesen yang berniaga secara haram di tepi jalan Parit 5 berhadapan Terminal Sekinchan di sini pada Khamis.

Setiausahanya, Mohd Azreen Ariffin berkata, operasi jam 10 pagi itu disertai empat penguat kuasa MDSB bagi mengesan penjaja tidak berlesen di lokasi tumpuan pengunjung itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua lima penjaja makanan dan minuman di kawasan itu melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja (MDSB) 2007.

"Sebanyak lima kompaun dikeluarkan kepada penjaja terlibat selepas didapati tidak memiliki permit berniaga," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas mengenai terdapat penjaja warga asing di kawasan terbabit sebagaimana tular di Facebook, Mohd Azreen memberitahu, hasil semakan mendapati lelaki warga Pakistan itu telah berkahwin dengan warga tempatan pada September 2022.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menggesa MDSB memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat penjaja warga asing menjual makanan di tepi jalan berhampiran Terminal Sekinchan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azreen berkata, MDSB turut melaksanakan operasi khas bagi membanteras peniaga aiskrim warga asing yang dijalankan di tempat tumpuan pelancong sekitar Sekinchan.

Menurut beliau, seramai sembilan anggota penguat kuasa digerakkan dan berjaya menyita empat motosikal peniaga terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kompaun maksimum RM1,000 dan caj sitaan terhadap kenderaan sebanyak RM250 telah dikenakan terhadap peniaga aiskrim warga asing tersebut," jelas beliau.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak lapan motosikal peniaga aiskrim warga asing disita MDSB.

"Operasi ini akan dilaksanakan secara berkala terutama pada musim cuti penggal persekolahan ini," tambahnya.