Mahkamah benar Petronas cabar kes tuntutan SST

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Tinggi Kuching akan mendengar permohonan Petronas untuk membatalkan Notis Penilaian yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar Cukai Jualan Negeri (SST) lebih RM1.3 bilion.

Ini selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim, Datuk Kamardin Hashim sebulat suara menolak rayuan kerajaan Sarawak dan Pengawal SST terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang membenarkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang dikemukakan Petronas.

Hakim, Kamardin yang bersidang bersama-sama Hakim, Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu semalam selepas mendengar hujah daripada Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Seri JC Fong yang mewakili kerajaan negeri dan peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Petronas.

Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan permohonan semakan kehakiman syarikat minyak dan gas nasional didengar di Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Kerajaan Negeri Sarawak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Disember tahun lepas, memberi kebenaran kepada Petronas untuk memulakan semakan kehakiman dan perintah penangguhan notis itu sehingga selesai semakan kehakiman.

Dalam permohonannya, Petronas menamakan Pengawal SST dan Kerajaan Negeri Sarawak masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Syarikat itu antara lain memohon perisytiharan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah dan perintah certiorari bahawa Notis Penilaian bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Oktober 2019 dan 13 November 2019 dikeluarkan oleh responden pertama Petronas akan dibatalkan serta-merta.

Sementara itu, saman sivil Sarawak terhadap Petronas untuk memperoleh SST bagi produk petroleum telah ditetapkan untuk didengar pada 14 Januari di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 November, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, tindakan undang-undang itu diambil untuk menuntut cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara kepada negeri itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Petronas belum membayar SST bagi produk petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Sebanyak lima peratus cukai jualan negeri dikenakan bermula 1 Januari 2019 dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini yang belum membayar cukai jualan. - Bernama