Lapan beranak syukur tak perlu kongsi satu bilik lagi

Yusnita (dua dari kanan) dan suami serta tiga anaknya bersyukur menerima bantuan rumah PPMS.
Yusnita (dua dari kanan) dan suami serta tiga anaknya bersyukur menerima bantuan rumah PPMS.
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Selepas bertahun-tahun terpaksa berkongsi satu bilik di rumah sewa yang serba daif, lapan beranak kini menarik nafas lega apabila menerima rumah bantuan kerajaan di bawah projek Penempatan Penduduk Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Seri Kendong di sini.

Lebih menggembirakan hati Yusnita Baharudin, 43, apabila dia dapat menyambut Ramadan dengan kesemua anaknya di rumah sama tahun ini.

Ini kerana katanya, tiga anak lelakinya selama ini terpaksa menumpang di rumah bapa saudara disebabkan keadaan rumah sewa dihuni mereka berkenaan.

"Saya ada lapan anak hasil perkahwinan dengan suami terdahulu dan seorang dengan suami sekarang yang mana lima daripadanya masih bersekolah.

"Saya pula hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami bekerja bahagian pembersihan, jadi tak mampu nak cari rumah sewa lain dan sebab itu kami terus saja sewa rumah satu bilik itu kerana sewanya hanya RM200," katanya.

Bagaimanapun katanya, keadaan rumah tersebut agak daif kerana banyak bahagian dinding telah dimakan anai-anai dan masalah bumbung bocor.

Tambahnya, disebabkan rumah berkenaan hanya mempunyai satu bilik, dia dan empat anak perempuan tidur di dalam bilik, manakala dua anak lelaki serta suami tidur di luar.

Meskipun terpaksa tinggal dalam keadaan begitu, namun kata Yusnita, dia bersyukur kerana anak-anak tidak pernah merungut.

Artikel Berkaitan:

"Anak-anak faham kesusahan kami dan langsung tak pernah berbunyi. Cumanya sebagai ibu, semestinya saya sedih kerana tak mampu sediakan tempat tinggal lebih selesa untuk mereka.

"Bila diberitahu permohonan saya dapatkan bantuan rumah kerajaan ini diluluskan, saya bersyukur sangat kerana dah lapan tahun saya mohon," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah berkenaan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini dan Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa di sini pada Jumaat.

Mohd Zamri menyerahkan replika kunci rumah kepada Yusnita sambil diperhatikan Suhaimi (empat dari kanan).
Mohd Zamri menyerahkan replika kunci rumah kepada Yusnita sambil diperhatikan Suhaimi (empat dari kanan).

Ujar Yusnita lagi, sambutan Ramadannya kali ini semestinya lebih ceria kerana dia dapat berkumpul bersama anak-anak.

"Terima kasih kepada Majlis Daerah Rembau dan YB kerana telah luluskan permohonan saya ini dan sekarang kami dapat tinggal di rumah yang ada tiga bilik, bukan lagi satu" katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, permohonan Yusnita diluluskan selepas semakan dilakukan mendapati dia layak untuk menerima bantuan rumah berkenaan berbanding dua lagi pemohon.

Disebabkan itu katanya, ia mengambil masa agak lama untuk diluluskan kerana perlu melihat kekosongan yang ada ditambah rumah sedia ada yang perlu dibaik pulih disebabkan ada beberapa kerosakan.

"Semua permohonan kita akan terima, tetapi semestinya kita akan buat tapisan dan semakan terlebih dahulu bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul layak mendapatnya," katanya.

Jelas beliau, antara syarat ditetapkan ialah pemohon mestilah berdaftar dengan e-kasih, menetap di Rembau, tidak mempunyai tanah untuk pembinaan rumah serta mempunyai anak-anak yang masih belajar dan tanggungan yang ramai.

Tambahnya, beliau difahamkan terdapat 24 buah rumah PPMS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota.