'Isu diskriminasi pekerja OKU tak perlu undang-undang khusus'

Sivakumar
Sivakumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU) di tempat kerja tidak memerlukan undang-undang khusus untuk ditangani.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, walaupun sesetengah negara mempunyai undang-undang sedemikian, namun di Malaysia kes sedemikian yang dilaporkan sangat sedikit.

Menurutnya, di Australia, Kanada dan India mempunyai undang-undang untuk menangani diskriminasi terhadap orang yang mempunyai kecacatan fizikal dan mental.

“Tetapi ini bergantung kepada setiap negara di mana mereka boleh mempunyai banyak kes diskriminasi berkaitan kedua-dua aspek ini dan oleh itu ia memerlukan undang-undang khusus untuk menangani isu berkenaan.

“Memandangkan negara kita hanya mempunyai lapan kes (yang dilaporkan) dan semuanya telah dikendalikan dengan baik, tidak perlu ada undang-undang khas buat masa ini untuk menangani isu ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada Isnin.

Sivakumar sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa Jabatan Tenaga Kerja hanya menerima lapan laporan mengenai diskriminasi seumpamanya dalam tempoh sehingga 30 September lalu.

“Peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengatasi isu berhubung pemantauan dan penguatkuasaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: